KUALA TERENGGANU – Institusi Baitulmal di seluruh negara akan diperkasakan menerusi penggunaan kecerdasan buatan (AI), rantaian digital (blockchain) dan teknologi digital lain bagi meningkatkan kecekapan sistem penyampaian kepada masyarakat.
Menteri Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, langkah itu selari dengan usaha menjadikan Baitulmal bukan sekadar berperanan dalam aspek pengagihan bantuan malah sebagai instrumen yang mampu menjana ekonomi serta pertumbuhan umat.
Beliau berkata, transformasi digital tersebut turut membolehkan sistem pengurusan Baitulmal diperkemas selain membuka ruang kepada penerokaan instrumen dan produk baharu yang lebih kompetitif.
“Baitulmal di seluruh negara sudah bergerak ke hadapan dengan mensinergikan teknologi digital, AI blockchain dan teknologi lain untuk memperkemas serta melancarkan lagi sistem penyampaian.
“Dalam masa sama, kita ingin meneroka instrumen baharu dan produk yang lebih kompetitif supaya dapat menawarkan solusi kepada masyarakat dalam konteks dunia hari ini,” katanya di sini hari imi.
Terdahulu beliau ditemui selepas merasmikan Konvensyen Baitulmal Kebangsaan.
Zulkifli berkata, pendekatan baharu terbabif penting bagi memperluas peranan Baitulmal daripada konsep distributif iaitu pengagihan kepada konsep generatif yang mampu menjana ekonomi. – KOSMO! ONLINE














