KUALA NERUS – Keterujaan sekumpulan pemancing untuk mencandat sotong bertukar tragedi apabila bot dinaiki mereka karam sehingga mengorbankan seorang kru bot di perairan Kuala Nerus, malam tadi.
Kejadian yang berlaku pada pukul 9 malam mengorbankan Ahmad Nasaruddin Mohmad Jalil, 36, manakala tiga lagi terdiri daripada pemancing pula cedera.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, bot tersebut yang membawa muatan 12 orang telah karam pada kedudukan kira-kira 16.67 kilometer dari Dataran Kuala Nerus, di sini.
“Operasi mencari dan menyelamatkan melibatkan anggota pelbagai agensi telah digerakkan sebaik menerima maklumat berhubung insiden itu pada pukul 9.02 malam tadi.
“Seorang (Ahmad Nasaruddin) disahkan meninggal dunia manakala tiga dari dilaporkan mengalami kecederaan dan semua mangsa telah dibawa ke Jeti Tok Batin, Seberang Takir,” katanya ketika dihubungi Kosmo!, di sini hari ini.
Beliau berkata, mayat Ahmad Nasaruddin telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Zainal Abidin, di sini untuk tindakan lanjut manakala tiga mangsa yang cedera pula dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu. – KOSMO! ONLINE














