PASIR MAS – Seorang buruh didenda RM3,000, bon kelakuan baik sebanyak RM2,000 dan melakukan khidmat masyarakat selama 36 jam oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mendedahkan anak perempuannya yang berusia setahun lapan bulan mengambil dua jenis dadah berbahaya, dua bulan lalu.
Tertuduh, Muhammad Shahrul Hisham Lailatulazhma, 27, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulkpli Abdullah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang merupakan seorang yang mempunyai pemeliharaan ke atas anak kandung iaitu seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun lapan bulan didakwa mendedahkan mangsa kepada dadah berbahaya sehingga menyebabkan kanak-kanak tersebut masukkan dadah jenis benzodiazepines dan methamphetamine dalam tubuh badannya.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Rantau Mas, Rantau Panjang di sini kira-kira pukul 10.30 malam pada 5 April 2026.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Raya, Siti Aisyha Nai’lah Harizan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Siti Aisyha Nai’lah mencadangkan hukuman setimpal kerana tertuduh gagal menjaga mangsa sehingga menyebabkan kanak-kanak itu terdedah kepada dadah.
“Justeru, hukuman setimpal wajar dikenakan kepada tertuduh kerana perbuatannya itu memberi kesan kepada kesihatan mangsa,” katanya.
Tertuduh dalam rayuannya memohon denda yang minimum dengan alasan perlu menanggung isteri yang tidak bekerja dan seorang anaknya yang merupakan mangsa dalam kes tersebut.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM3,000 dan tiga bulan penjara jika gagal membayar denda itu, bon berkelakuan baik sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin bagi tempoh setahun serta melakukan khidmat masyarakat selama 36 jam dalam tempoh enam bulan.
Tertuduh membayar denda dan bon berkelakuan baik yang ditetapkan mahkamah. – KOSMO! ONLINE














