PETALING JAYA – Semua pihak yang menerbitkan atau menghasilkan bahan mengandungi petikan ayat suci al-Quran diingatkan supaya sentiasa memastikan ketepatan teks, termasuk ejaan, baris, tanda bacaan dan susunan ayat, bagi mengelakkan sebarang kesilapan yang boleh menjejaskan kesucian kalam Allah.
Ketua Unit Regulatori Al-Quran dan Hadith, Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Nazwa Hanim Abu Bakar berkata, penerbit dan penulis juga disaran mendapatkan khidmat penyemak (proofreader) yang mempunyai kepakaran dalam pengajian al-Quran dan ilmu Islam atau individu yang mempunyai kelayakan serta pengiktirafan bersesuaian sebelum sesuatu bahan diterbitkan.
Jelasnya, langkah ini amat penting bagi memastikan setiap kandungan yang diterbitkan telah melalui proses semakan yang teliti sebelum dicetak atau diedarkan kepada masyarakat.
“Semua penulis atau penghasil karya juga diingatkan agar berhati-hati dalam menggunakan teknologi semasa seperti kecerdasan buatan(AI) atau ChatGpt.
“Tidak semua perkara boleh dihasilkan melalui teknologi tersebut terutamanya melibatkan ayat al-Quran yang mempunyai mukjizat dan kemuliaan tertinggi kerana khuatir kesilapan berlaku hasil dari penggunaan teknologi tersebut. Rujuklah kepada sumber yang lebih autentik dan diyakini mengikut hukum syarak,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas isu tular membabitkan sebuah buku terbitan seorang pempengaruh yang didakwa mengandungi petikan ayat al-Quran yang tidak wujud sehingga mencetuskan kebimbangan masyarakat.
Mengulas mengenai isu yang tular tersebut. Nazwa Hanim berkata, beliau percaya perkara itu telah mendapat perhatian pihak berkuasa berkaitan dan akan diperhalusi sewajarnya demi memelihara kesucian al-Quran serta kesejahteraan umat Islam.
“Adalah wajar kita memberi ruang kepada pihak berautoriti untuk menjalankan semakan dan mengambil tindakan yang bersesuaian mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.
Beliau pada masa sama merakamkan penghargaan kepada masyarakat yang cakna dan prihatin terhadap isu berkaitan penerbitan yang melibatkan ayat suci al-Quran.
“Keprihatinan ini menunjukkan kesedaran masyarakat Islam di negara ini semakin meningkat dalam usaha bersama memelihara kesucian dan ketepatan penyampaian kalam Allah,” ujarnya.
Menurut beliau, semua pihak perlu mengambil iktibar daripada insiden tersebut dengan mengamalkan sikap ihtiyat atau berhati-hati dalam setiap tindakan, khususnya apabila melibatkan penulisan, penerbitan atau perkongsian ayat al-Quran.
“Janganlah kita membuat andaian sendiri atau menerbitkan sesuatu tanpa semakan yang sewajarnya. Sebaliknya, sentiasalah mendapatkan pandangan serta pengesahan daripada pihak yang benar-benar berautoriti dan mempunyai kepakaran dalam bidang berkaitan.
“Langkah ini bukan sahaja dapat mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat, malah mampu mengelakkan kerugian kepada semua pihak serta memelihara kemuliaan kalam Allah SWT,” katanya.
Sebelum ini, tular di media sosial dakwaan terhadap seorang pempengaruh yang menerbitkan sebuah buku mengandungi petikan ayat suci al-Quran yang didakwa tidak wujud dan dipersoalkan kesahihannya.
Susulan itu, orang ramai melakukan proses ‘membedah’ terhadap kandungan buku berkenaan di media sosial serta menggesa agar penerbitan buku tersebut dihentikan sementara menunggu semakan pihak berkuasa.- KOSMO! ONLINE














