SEREMBAN – Kerajaan perlu menimbang semula keberadaan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Malaysia jika badan itu terus gagal bekerjasama dalam memperkemaskan pengurusan pelarian di negara ini.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata beliau berpandangan sudah tiba masanya perkara itu dipertimbangkan bagi mengelakkan Malaysia terus menanggung beban, selain memastikan aspek keselamatan dan ketenteraman negara terus terpelihara.
Katanya, kerajaan sebelum ini sudah membangkitkan cadangan supaya diwujudkan ‘host country agreement’ dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Kita tidak ada ‘host country agreement’. Jadi kita mesti ada perjanjian itu supaya jelas apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh mereka.
“Sekarang nampaknya tiada apa-apa, tiada SOP. Mereka buat sahaja, termasuk permohonan kad yang boleh dibuat secara dalam talian sebelum datang ke Malaysia untuk mengambil kad. Jadi, di mana saringan kita? Inilah yang perlu diuruskan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau proses pengundian awal bagi Pilihan Raya Negeri, Negeri Sembilan Ke-16 di Dewan Angkasaraya, Pengkalan Udara Sendayan, di sini, hari ini.
Beliau berkata, jika UNHCR enggan bekerjasama dengan kerajaan, Malaysia wajar menilai semula kewujudan badan itu di negara ini.
“Kalau mereka tidak mahu bekerjasama, sudah sampai masanya kita menimbang semula keberadaan UNHCR di dalam negara kita. Ini pandangan saya supaya kita tidak terus terbeban. Ia menjadi satu magnet kepada pelarian untuk datang ke Malaysia kerana adanya pejabat UNHCR yang boleh mengeluarkan kad. Perkara ini perlu diurus dengan baik,” katanya. – KOSMO! ONLINE













