fbpx
Ahmad Shah meninggal dunia kira-kira pukul 3.30 pagi akibat ditikam dalam kejadian di Korea Selatan.

‘Ahmad Shah disayangi sebab suka bantu orang’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GOMBAK – Hasrat Allahyarham Ahmad Shah Ahmad Ros untuk membawa pulang isterinya bertemu keluarga tidak kesampaian apabila mangsa maut ditikam ketika cuba membantu rakannya di Korea Selatan kelmarin.

Ibunya, Zulfah Fadliani, 47, berkata, arwah yang bernikah di negara itu pada April lalu merancang pulang ke Malaysia pada penghujung tahun ini untuk memperkenalkan Nurcahaya Ruslan, 30, kepada ahli keluarga.

“Dia (arwah) selalu cakap nak bawa isteri jumpa kami dan adakan majlis doa selamat, tetapi hasrat itu tidak kesampaian,” katanya ketika ditemui di rumah­nya di Bandar Tasik Puteri, Ra­wang di sini semalam.

Zulfah berkata, anak sulung­nya itu suka membantu individu lain dalam kesusahan.

“Kalau orang minta tolong dia akan pergi. Ketika kejadian, apabila sampai, dia cuba leraikan pergaduhan, tetapi secara tiba-tiba seorang lelaki menikamnya sebelum lari,” katanya.

Cerita Zulfah, ekoran kejadian itu, Ahmad mengalami kecederaan parah selepas ditikam beberapa kali termasuk di perut sehingga kehilangan banyak darah.

Katanya, dia menerima panggilan daripada menantunya yang memaklumkan anaknya parah ditikam dan disahkan meninggal dunia ketika dirawat pada pukul 3.30 pagi (waktu tempatan).

Allahyarham Ahmad yang bekerja kilang di negara itu sejak 2019 merupakan anak yang bertanggungjawab walaupun berada di perantauan.

“Dia sanggup bersusah payah demi keluarga. Dia selalu cakap dia mahu senangkan mama dan ayah. Kawan-kawannya di sana sayangkan dia sebab suka membantu orang,” ujarnya.

Sementara itu, bapa mangsa, Ahmad Ros Abidin meminta orang ramai supaya tidak membuat spekulasi sehingga menimbulkan persepsi bahawa anaknya terbabit dalam pergaduhan.

“Anak saya tidak suka bergaduh. Dia baik dan sentiasa membantu keluarga. Malah, dia pernah menghadiahkan saya sebuah kereta hasil titik peluhnya bekerja di sana,” katanya.

Tambahnya, dia turut berhasarat untuk mengeluarkan sebahagian wang simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja bagi membawa seluruh ahli keluarga termasuk arwah dan iste­rinya menunaikan umrah pada penghujung tahun ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN