JOHOR BAHRU – Seorang wanita maut, manakala enam lagi mangsa termasuk tiga kanak-kanak cedera dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Jalan Permas Utara, berhampiran Masjid Kampung Plentong, di sini pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.07 pagi itu, kemalangan melibatkan sebuah van kilang jenis Ford Maxi, sebuah Honda Civic, sebuah Perodua Alza dan sebuah motosikal Yamaha LC135.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya, Pegawai Bomba Kanan I Rafie Ahmad Sareng berkata, sepasukan tujuh anggota bersama sebuah jentera FRT dan sebuah kenderaan EMRS dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan.
“Pasukan bomba tiba di lokasi pada pukul 7.13 pagi dan mendapati kemalangan membabitkan empat kenderaan dengan tujuh mangsa.
“Seorang penumpang wanita dewasa yang menaiki van Ford Maxi disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM), manakala pemandu van itu mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pemandu wanita Honda Civic terselamat tanpa mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, pemandu Perodua Alza pula mengalami kecederaan, manakala penunggang motosikal Yamaha LC135 serta tiga pembonceng terdiri daripada dua kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan turut cedera.
“Semua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sultan Ismail menggunakan ambulans dan kenderaan EMRS untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Mayat mangsa yang meninggal dunia pula diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,”katanya.-KOSMO! ONLINE














