KUALA NERUS – Seorang pegawai Kolej Teknologi Tinggi Jabatan Tenaga Manusia (Adtec JTM) Marang yang sedang bertugas di luar daerah di Temerloh, Pahang tergamam dimaklumkan berita kematian anak tunggalnya akibat nahas jalan raya semalam.
Mohd. Azrol Mat Din, 48, berkata, dia terus bergegas pulang ke rumahnya di Kampung Mengabang Lekor, Batu Rakit di sini sebaik dihubungi isterinya, Jariah Yusof, 46, memberitahu kematian Muhammad Rifqi Rayyan Abdul Rahim, 14, yang merupakan anak angkat dipelihara mereka sejak lahir.
“Waktu itu saya baru tiba ke Temerloh untuk bertugas sebagai panel penilai Jabatan Tenaga Manusia (JTM).
“Panggil telefon isteri (Jariah) memaklumkan pemergian Rifqi bagai meragut separuh nyawa. Sepanjang perjalanan pulang, fikiran saya melayang berharap bertemu jenazahnya buat kali terakhir,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Mengabang Lekar, Batu Rakit, di sini hari ini.
Terdahulu, Rifqi antara dua remaja yang maut dalam nahas melibatkan tiga motosikal di Jalan Kampung Pecah Rotan, Batu Rakit, di sini kelmarin.
Dalam kemalangan pada pukul 6.30 petang itu, seorang remaja lain berusia 15 tahun turut kritikal dan sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.
Mohd. Azrol berkata, sebaik tiba separuh perjalanan, dia yang sebak tidak mampu memandu kereta sehingga terpaksa meminta bantuan rakannya yang bertugas di Adtec JKM Kemaman membawanya ke Unit Forensik Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA), Kuala Nerus.
Katanya, Rifqi sudah dianggap bagaikan anak kandung kerana sudah dipelihara dia dan isteri sejak remaja itu bayi. – KOSMO! ONLINE














