KOTA TINGGI – Misteri penemuan mayat seorang wanita yang terapung di Sungai Tanjung Serindit, Ulu Papan, Pengerang di sini malam tadi menggemparkan penduduk apabila mangsa ditemukan dalam keadaan kedua-dua tangan dan kakinya diikat dengan tali.
Mayat wanita yang identitinya masih belum dikenal pasti itu ditemui selepas polis menerima maklumat daripada orang awam kira-kira pukul 9 malam.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi bersama Bahagian Forensik D10 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor bergegas ke lokasi sebaik menerima laporan.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian dan kedua-dua bahagian tangan serta kaki mangsa diikat menggunakan tali.
“Identiti mayat masih dalam proses dikenal pasti, manakala punca kematian juga masih dalam siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, mayat wanita itu telah dihantar ke Hospital Pasir Gudang untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana disyaki mempunyai unsur jenayah.
Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tersebut atau mengetahui mana-mana individu wanita yang dilaporkan hilang supaya tampil membantu siasatan.
Maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Kes, Asisten Superintendan Noor Azizi Indzam di talian 013-787 8771, mana-mana balai polis berhampiran atau Hotline IPD Kota Tinggi di talian 07-883 1222.-KOSMO! ONLINE














