JASIN – Seorang warga emas maut akibat tersepit selepas lori muatan kelapa sawit yang dipandunya terlibat dalam nahas di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) berhampiran Kampung Batu Gajah, di sini hari ini.
Mangsa berusia 68 tahun itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM).
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd. Hafidzatullah Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 11.50 pagi.
Menurutnya, sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Merlimau bersama sebuah jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) dan sebuah Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya pasukan bomba pada pukul 11.58 pagi, didapati benar berlaku kemalangan jalan raya melibatkan sebuah lori tiga tan yang membawa muatan kelapa sawit.
“Seorang mangsa lelaki berusia 68 tahun didapati tersepit di bahagian pemandu dan telah disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pasukan bomba kemudiannya menjalankan operasi mengeluarkan mangsa sebelum mayat diserahkan kepada pihak ambulans KKM untuk tindakan lanjut.
“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 1.19 petang selepas pihak bomba memastikan tiada sebarang kemerbahayaan lain di lokasi kejadian,” ujarnya.- KOSMO! ONLINE














