KUALA NERUS – Dua remaja maut manakala seorang kritikal selepas motosikal masing-masing terlibat dalam kemalangan di Jalan Kampung Pecah Rotan, Batu Rakit di sini, semalam.
Dalam kemalangan pada pukul 6.30 malam itu, Muhamad Hazim Mohd. Zawawi, 17, dan Muhammad Rifqi Rayyan Abdul Rahim, 14, meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan beberapa anggota badan.
Seorang lagi mangsa, Muhammad Harris Iman Fadillah, 15, pula cedera parah pada bahagian kepala dan beberapa anggota badan.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, sewaktu kejadian, Muhamad Hazim dan Muhammad Harris Iman yang masing-masing menunggang motosikal SYM BX110 dan Honda EX5 dikatakan dalam perjalanan ke rumah mereka di Kampung Mengabang Kapal dan Kampung Kubur Timah di sini.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal Honda EX5 ditunggangi Muhammad Harris Iman dikatakan tiba-tiba dirempuh dari arah belakang oleh motosikal SYM BX110 dinaiki Muhamad Hazim.
“Ia menyebabkan motosikal Honda EX5 tersebut hilang kawalan lalu merempuh pula motosikal Yamaha Ego Avantiz ditunggangi Muhammad Rifqi Rayyan di laluan bertentangan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Azli berkata, sewaktu kejadian, Muhammad Rifqi Rayyan dikatakan dalam perjalanan ke Kampung Pecah Rotan dari Batu Rakit di sini. – KOSMO! ONLINE














