fbpx
TERTUDUH diiringi pegawai SPRM selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Melaka, hari ini. Foto oleh AMRAN ALI/KOSMO!

Pegawai Imigresen didakwa ‘kutip’ bulanan RM300 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Seorang pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Melaka didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tujuh pertuduhan menerima suapan secara bulanan berjumlah keseluruhan RM1,950 daripada warga emas bagi kes melindungi pendatang asing tanpa izin, tahun lalu.

Tertuduh, Mohd. Nazrul Md. Yasin, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus kesemua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam.

Mengikut pertuduhan satu hingga tujuh, tertuduh didakwa telah menerima secara rasuah suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM1,500 daripada seorang lelaki berusia 69 tahun, manakala RM450 dipindahkan secara atas talian ke dalam akaun Maybank milik ibu tertuduh berusia 73 tahun.

Ia sebagai dorongan untuk tertuduh sebagai Pegawai Imigresen Negeri Melaka tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap wanita berusia 23 tahun, yang juga anak kepada warga emas terbabit kerana melindungi seorang pekerja warganegara asing yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri di dalam premis yang merupakan satu kesalahan di bawah Akta Imigresen 1957/63.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh di sebuah restoran di Merlimau dalam daerah Jasin, Melaka antara antara 1 Januari hingga 10 Julai 2025.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu, jika suapan dapat dinilaikan atau berbentuk wang atau RM10,000, mana-mana lebih tinggi bagi setiap pertuduhan.

Ia mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Sharina Farhana Nor Sa’ari memaklumkan kesalahan dilakukan tertuduh adalah berat dan tidak boleh dijamin, namun sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara, pihaknya mencadangkan jaminan RM20,000 dikenakan bagi kesemua pertuduhan dengan penjamin adalah warga tempatan.

Pihaknya turut memohon syarat tambahan dikenakan terhadap tertuduh iaitu pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah, wajib melapor diri sebulan sekali di pejabat SPRM dan dilarang mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu jaminan minimum diberikan dengan alasan pihaknya hanya menyediakan wang jaminan sebanyak RM5,000, hasil wang yang dipinjam dan kini telah digantung kerja.

Ujarnya lagi, dia merupakan penanggung tunggal keluarga dan perlu menjaga ibu serta empat orang anak yang masih bersekolah.

Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin warga tempatan beserta syarat-syarat tambahan dipohon pendakwaan. Sebutan semula kes ditetapkan pada tarikh 26 Ogos depan.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN