fbpx
Udang beras hidup yang dijadikan umpan pancing ditangkap dengan menggunakan bubu payung.

Umpan udang beras mujarab di muara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Hari minggu jarang dibazirkan oleh Mohamad Harith Iqbal Soheimi dan dua orang adiknya untuk memancing di Sungai Pulau Belacan di Kubang Kerian Kelantan.

Lokasi tersebut sering menjadi pilihan adik-beradik ini kerana ia dihuni pelbagai jenis ikan membuatkan jarang mereka pulang dengan tangan kosong.

Cara paling santai memancing di sini ialah dengan pancing dasar menggunakan pelbagai jenis umpan seperti perumpun, hirisan ikan, sotong dan udang.

Setelah beberapa kali meman­cing di lokasi ini mereka mendapati umpan udang beras paling efektif digunakan dan ia juga mudah didapati di tempat yang sama.

Ia ditangkap dengan hanya gunakan bubu payung yang diisi umpan roti dan dibiarkan sejam dua di dalam air di tepi tebing sebelum diangkat. Biasanya sekali angkat jumlah udang sudah mencukupi untuk beberapa jam memancing.

Hasil
Sebaik umpan mencukupi untuk sesi memancing, ia akan diguna dan dilabuhkan ke kawasan alur sungai kerana di situlah ikan-ikan banyak berlegar.

Baru sahaja mengarau tali, tiba-tiba joran Izudin melentur dan dia terus menyembatnya. Rupa-rupanya ia seekor ikan bawal pinang.

Ikan sumpit menjadi tangkapan Ikbal.

Spesies ikan ini bukannya asli di perairan Kelantan, berkemungkinan ia ikan yang terlepas dari sangkar ternakan dan dapat berasimilasi dengan sungai ini dan membiak secara baik.

Selepas itu, giliran Iqbal pula be­rentap, mangsanya ialah seekor ikan sumpit kerana umpannya dilontar berhampiran dengan kawasan pokok nipah yang diketahui merupakan kawasan spesies ikan itu berlindung.

Adik bongsu mereka, Izziman juga tidak mahu ketinggalan memancing dengan beberapa ekor ikan gerut-gerut dan seekor ikan green chromide. Biarpun ikan-ikannya dikategorikan kecil, tetapi merupakan satu kepuasan bagi seorang kanak-kanak.

Selain tangkapan tadi, adik-beradik ini turut dapat beberapa ekor ikan gelama, bebulus dan kapas. Suasana di tebing sungai menjadi semakin meriah dengan gelak tawa.

Hari semakin lewat petang dan sebelum suasana menjadi gelap, mereka cepat-cepat berkemas dan pulang dengan hasil tersebut untuk dijadikan hidangan makan malam bersama keluarga yang lain.

Aktiviti memancing seperti ini bukan sahaja dapat mengisi masa lapang dengan perkara yang berfaedah, malah dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan di sam­ping dapat menjamu selera dengan lauk ikan yang segar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN