PARIS – Perancis semalam mengumumkan kes pertama Ebola di wilayahnya, melibatkan seorang doktor yang berlepas pulang dari Republik Demokratik Congo (DRC).
Kes itu merupakan jangkitan demam berdarah Ebola pertama dikenal pasti di luar Benua Afrika semasa wabak semasa, yang turut menjejaskan Uganda.
“Pesakit yang tiba di Paris kelmarin itu ‘menaiki penerbangan komersial dari Kinshasa (ibu kota DRC) dan hampir tidak menunjukkan gejala kecuali sakit kepala,” kata kementerian kesihatan.
Dia berada dalam ‘keadaan stabil’ dengan beban virus yang ‘sangat rendah’, tambahnya.
Doktor itu melakukan perjalanan dengan penerbangan Air France, kata syarikat penerbangan itu, sambil menambah bahawa pihaknya telah menyerahkan senarai penumpang kepada pihak berkuasa Perancis.
“Situasi kini dikendalikan oleh pihak berkuasa kesihatan,” kata Air France.
Menteri Kesihatan Stephanie Rist kemudian berkata, lima penumpang lain dikenal pasti sebagai kontak dan diletakkan dalam kuarantin sebagai langkah berjaga-jaga.
Wabak Ebola ke-17 di DRC diisytiharkan pada 15 Mei lalu susulan sejumlah kematian yang tidak dapat dijelaskan berlaku di Ituri. Wilayah timur DRC itu kaya dengan mineral tetapi bergolak akibat pertempuran kumpulan-kumpulan bersenjata.
Menurut angka rasmi terkini, lebih 1,000 kes Ebola telah direkodkan termasuk 267 kematian.
Wabak semasa berpunca daripada virus Ebola jenis Bundibugyo yang tidak mempunyai vaksin atau rawatan khusus untuk pesakit. – AFP














