KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki berusia 24 tahun direman selama tujuh hari sehingga Isnin ini bagi membantu siasatan kes amang seksual dan rogol melibatkan adik perempuannya.
Perintah reman tersebut dibenarkan Majistret Noor Mazrinie Mahmood di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Superintendan Azli Mohd Noor berkata, suspek yang merupakan abang kandung mangsa telah ditahan polis malam tadi.
“Tangkapan itu berikutan aduan mangsa yang merupakan remaja perempuan berusia 16 tahun pada 12.51 tengah hari semalam.
“Dia mendakwa telah dirogol oleh suspek sebanyak beberapa kali sejak enam tahun lalu,” katanya di sini hari ini.
Azli berkata, suspek didakwa turut melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa dalam kejadian terbahari pada 9 malam, Ahad lalu.
Beliau berkata, kes akan disiasat mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan dan Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. – KOSMO! ONLINE














