MONTERREY – Penggempur Jepun, Ayase Ueda memberi amaran kepada Sweden bahawa keyakinannya berada pada tahap tertinggi selepas menjaringkan dua gol menarik pada perlawanan menentang Tunisia sebelum ini.
Jepun menewaskan Tunisia 4-0 menyamai kutipan mata Belanda di puncak Kumpulan F dan hampir mengesahkan tempat mereka ke kelompok 32 pasukan terakhir dengan satu perlawanan masih berbaki.
Ueda yang beraksi di Belanda dan dikaitkan dengan perpindahan ke Liga Perdana Inggeris, menjaringkan gol dari luar kotak penalti pada separuh masa pertama sebelum menambah gol kedua menerusi tandukan bijak menjelang tamat perlawanan.
Daichi Kamada dan Junya Ito turut mencatatkan nama sebagai penjaring ketika Tunisia gagal memberi tentangan sekali gus menamatkan peluang untuk mara ke pusingan seterusnya.
“Saya benar-benar gembira. Ia terasa seperti segala usaha yang saya bina sejak kekecewaan empat tahun lalu akhirnya membuahkan hasil.
“Ia terasa sangat berbeza berbanding semua gol yang pernah saya jaringkan sebelum ini dari segi kegembiraan, pencapaian dan tanggungjawab besar yang saya pikul. Kualiti permainan saya juga berbeza berbanding empat tahun lalu dan saya kini bermain dengan penuh keyakinan,” katanya.
Penyerang itu hanya bermain selama 45 minit pada Piala Dunia 2022 di Qatar ketika pasukan bimbingan Hajime Moriyasu tersingkir di pusingan 16 terbaik selepas tewas kepada Croatia.
Namun, beliau tiba pada kempen kali ini dengan rekod cemerlang selepas menjaringkan 25 gol dalam 31 penampilan liga bersama Feyenoord untuk muncul penjaring terbanyak Liga Belanda sehingga namanya dikait dengan perpindahan ke Tottenham Hotspur. – AGENSI














