fbpx
RONALDO meledak dua gol ketika Portugal membelasah Uzbekistan pada aksi awal pagi semalam. - AFP

Piala Dunia 2026: Ronaldo akhirnya benam kritikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HOUSTON – Penyerang sensasi Portugal, Cristiano Ronaldo membuktikan dirinya masih berbisa apabila meledak dua gol untuk membantu Portugal mencipta kemenangan dengan membelasah Uzbekistan 5-0 dalam aksi Kumpulan K Piala Dunia 2026, semalam.

Bintang berusia 41 tahun itu bangkit dengan penuh bergaya selepas dikritik hebat susulan kegagalannya membantu Portugal meraih kemenangan dalam keputusan seri 1-1 menentang Congo pada aksi pembukaan minggu lalu.

“Saya tahu rakan sepasukan akan membantu saya. Ia minggu yang sukar, minggu yang gelap. Seolah-olah saya sudah bersara daripada bola sepak.

“Tetapi, saya terus bertahan seperti biasa kerana saya lebih percaya kepada kerja keras berbanding apa jua perkara lain. Ia memang sukar, saya akui, tetapi kami kembali,” kata Ronaldo selepas perlawanan.

Ronaldo membuka tirai jaringan seawal minit keenam sebelum menambah gol kedua pada minit ke-39 untuk membantu Portugal mengumpul empat mata dan mendahului Kumpulan K semalam.

Lebih manis, Ronaldo turut mencipta sejarah sebagai pemain pertama menjaringkan gol dalam enam edisi Piala Dunia berbeza, malah juga muncul pemain kedua tertua yang menjaringkan gol di Piala Dunia selepas legenda Cameroon, Roger Milla yang melakukannya pada usia 42 tahun pada edisi 1994.

Gol kedua yang dijaringkan hasil gerakan Bruno Fernandes pula membolehkan Ronaldo mengumpul 10 jaringan sepanjang kariernya di Piala Dunia, sekali gus memintas Eusebio sebagai penjaring terbanyak Portugal dalam sejarah kejohanan itu.

Ronaldo menyertai edisi piala dunia kali ini dengan moral yang rendah apabila kualitinya diragui oleh para peminat terutama ketika aksi hambar bertemu Congo.

Lebih memberi tekanan, prestasinya juga dibandingkan dengan beberapa penyerang lain seperti Kylian Mbappe, Harry Kane, Erling Haaland dan seteru lamanya, Lionel Messi yang masing-masing memulakan kempen dengan cemerlang.

“Saya sentiasa tiba. Cepat atau lambat, saya akan berada di sana. Apa yang penting adalah terus bekerja keras. Perkara paling penting adalah pasukan,” jelasnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN