BOSTON – Keputusan seri tanpa jaringan dengan Ghana di Stadium Boston, semalam tidak beri kesan besar kepada England untuk mengesahkan kemaraan ke pusingan kalah mati selaku juara Kumpulan L.
Tonggak tengah The Three Lions, Declan Rice kekal optimis walaupun kemaraan yang diidamkan pasukan terpaksa ditentukan pada perlawanan terakhir menentang Panama, Ahad ini.
“Adalah sukar apabila menentang pasukan yang meletakkan 11 pemain dengan corak bertahan, namun kami tetap perlu mencari jalan penyelesaian. Pada 10 minit terakhir, kami seperti tidak bernasib baik gagal menjaringkan gol.
“Kami masih memiliki peluang cerah untuk muncul juara kumpulan dan keadaan sekarang masih lagi positif sebelum berdepan perlawanan terakhir menentang Panama. Namun, kredit perlu diberikan kepada Ghana kerana menyukarkan kami.
“Banyak pasukan besar mencatatkan keputusan seri pada perlawanan pertama, jadi tidak ada keperluan untuk kami sedih atau pun berasa negatif dengan keputusan kali ini,” katanya yang turut memuji disiplin pertahanan Ghana.
Dalam masa sama, penyerang sensasi England, Harry Kane percaya The Three Lions berhak mendapatkan keputusan lebih baik, namun kini harus melupakan kekecewaan dengan kadar segera.
“Jelas sekali kami berasa kecewa kerana gagal memenangi perlawanan yang sepatutnya berpihak kepada kami 1-0 atau pun 2-0. Ia bukan pengakhiran yang cantik namun sekarang kami kena lihat lebih ke depan,” kata Kane. – AGENSI














