ATLANTA – Maghribi terpaksa mengharungi detik cemas sebelum mengesahkan tempat ke pusingan 32 terbaik apabila bangkit daripada dua kali ketinggalan untuk menewaskan Haiti 4-2 pada aksi terakhir Kumpulan C Piala Dunia 2026, awal pagi tadi.
Kemenangan dramatik itu bagaimanapun belum cukup untuk menghadiahkan status juara kumpulan kepada skuad Atlas Lions apabila mereka sekadar menamatkan saingan di tangga kedua di belakang Brazil menerusi perbezaan jaringan.
Haiti yang sudah pun tersingkir selepas tewas kepada Scotland dan Brazil tetap mencipta sejarah apabila menjaringkan gol pertama mereka di pentas Piala Dunia selepas penantian selama 52 tahun.
Jaringan itu hadir pada minit ke-10 apabila hantaran lintang Jean-Kevin Duverne terkena Lenny Joseph sebelum menerjah ke gawang hasil sentuhan penjaga gol Maghribi, Yassine Bounou.
Kapten Maghribi, Achraf Hakimi yang terus mengetuai pasukan menyamakan kedudukan pada minit ke-39 apabila pantas menyambar bola muntah hasil percubaan Bilal El Khannouss yang gagal ditangkap kemas penjaga gol Haiti, Johny Placide.
Namun, kegembiraan Maghribi hanya bertahan empat minit apabila penyerang Sunderland, Wilson Isidor melepaskan rembatan padu dari luar kotak penalti yang terus menerjah penjuru atas gawang untuk mengembalikan kelebihan Haiti.
Enggan mengalah, skuad bimbingan Mohamed Ouahbi kembali menyamakan kedudukan sebelum tamat babak pertama menerusi Ismael Saibari yang tenang menyudahkan hantaran rendah Hakimi. Jaringan itu merupakan gol ketiga Saibari dalam tiga perlawanan di Piala Dunia edisi kali ini.

Menyedari hanya kemenangan besar mampu membolehkan mereka memintas Brazil di puncak Kumpulan C, Maghribi terus melakukan asakan untuk mencari gol kemenangan.
Brahim Diaz hampir meletakkan pasukannya di depan lebih awal, namun percubaannya sekadar singgah di tiang gol.
Ouahbi kemudian melakukan beberapa pertukaran dengan merehatkan Saibari dan Diaz bagi menghadapi pusingan kalah mati, namun pemain gantian yang dimasukkan memberikan impak segera apabila Soufiane Rahimi meledak gol ketiga Maghribi.
Rahimi terus mencuri perhatian apabila merampas bola berhampiran garisan gol sebelum melorongkan hantaran mudah kepada Gessime Yassine untuk menyempurnakan jaringan keempat Maghribi, sekali gus memastikan tiga mata menjadi milik mereka.
Walaupun gagal memintas Brazil untuk muncul juara Kumpulan C, kemenangan itu mengekalkan momentum Maghribi menjelang aksi pusingan 32 terbaik yang berkemungkinan menemukan mereka dengan Belanda atau Jepun.
Bagi Haiti pula, mereka menamatkan kempen tanpa sebarang mata, namun tetap pulang dengan kebanggaan selepas berjaya menamatkan kemarau jaringan di pentas Piala Dunia sejak 1974. -KOSMO! ONLINE














