fbpx
Adira dan anak sulungnya, Anggrek yang mencatat sejarah tersendiri sebagai peserta termuda menjuarai program hiburan, TTMM2.

Anggrek jenis bersungguh, niat asal cuma nak belajar – Adira

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KETIKA nama si anak, Anggrek yang baru berusia sembilan tahun diumumkan bersaing dalam program Talk To My Manager 2 (TTMM2), banyak mulut ‘berbunyi’ mempertikaikan kewajaran Adira sebagai  ibu dalam membuat keputusan besar tersebut.

Tidak terhenti di situ, bahkan apabila puteri sulung daripada empat bersaudara itu menunjukkan kecemerlangan di pentas program pertandingan tersebut, tetap juga timbul suara sumbang yang mempersoalkan ke mana hala tuju anak sekecil itu dibandingkan dengan peserta lain.

Namun, enggan memikirkan kata-kata negatif, pemilik nama lengkap Siti Adira Suhaimi itu menggenggam misi jitu selaku pengurus untuk membiarkan Anggrek ‘terbang’ menonjolkan potensi diri dan bakat.

Baginya Adira, penyertaan dalam program realiti itu bukan didorong keinginan memburu gelaran, sebaliknya mahu membuka ruang kepada Anggrek untuk belajar serta merasai pengalaman berjuang dalam pertandingan sebenar.

“Bagi saya umur hanya angka. Program ini tidak sekadar menilai kemampuan vokal, malah kualiti persembahan selain melihat sejauh mana peserta dapat menghiburkan audiens.

“Pada masa sama, juri turut menilai peranan ibu atau bapa sebagai pengurus. Disebabkan itu, saya terima tawaran ini. Kalau pertandingan ini hanya membabitkan nyanyian semata-mata, mungkin saya tidak akan bawa Anggrek menyertainya.

“Matlamat saya hanya satu iaitu memberikan Anggrek peluang menimba ilmu, rasa pengalaman sebenar di pentas langsung serta merasai sendiri cabaran untuk mencari tapak di arena seni,” katanya selepas majlis penyerahan hadiah TTMM2, di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), baru-baru ini.

Pada malam itu, Anggrek mencipta sejarah peribadi apabila dinobatkan sebagai juara TTMM2 menewaskan empat finalis lain yang rata-rata berusia 20-an, sekali gus membolot ganjaran wang tunai berjumlah RM30,000, trofi serta hadiah sampingan lain.

Membawakan lagu Aku Stacy secara solo serta Sutera berduet dengan penyanyi asal lagu terbabit, Aisha Retno, aksi lincah si kecil yang berbakat luar biasa itu meraih perhatian empat juri dan penonton.

Bagi ibunya, meskipun pada awalnya ada pihak mempertikaikan usia Anggrek yang dianggap terlalu muda untuk bertanding, dia tidak pernah berganjak daripada pendirian dibuat.

“Dari awal lagi saya anggap ini medan untuk dia belajar. Alhamdulillah, sampai sekarang saya masih pegang pendirian itu dan langsung tidak menyangka kami akan muncul juara,” ujarnya.

Mengimbas kembali laluan anaknya, Adira mengakui dia sebenarnya ragu-ragu untuk menyertai TTMM2, tetapi kemudian menerima tawaran diajukan produksi.

“Awalnya macam-macam yang berlegar-legar di fikiran saya. Banyak perkara kena dipertimbangkan terutama Anggrek nanti sama ada mampu galas cabaran atau tidak.

“Namun melihat kesungguhan serta potensinya, saya teruskan kerana niat asal cuma nak dia belajar dan cari pengalaman,” ulasnya.

Mengakui terkejut melihat perkembangan luar biasa anaknya pada usia sebegitu muda, Adira percaya persembahan pada malam kemuncak itu direalisasikan dengan sokongan insan sekeliling.

Akademik

“Sebenarnya saya sendiri tak menjangka Anggrek boleh pergi sejauh ini. Pada umur sekarang dia mampu menyanyi pelbagai genre, menghafal lirik, menari dan menampilkan ekspresi yang sesuai ketika membuat persembahan,” tambahnya. Bergelar juara bermakna ekspektasi masyarakat berganda,  penyanyi lagu Sayang Orang Sama itu mengakui tidak akan sesekali mengetepikan pelajaran permata hatinya.

“Pelajaran tetap menjadi keutamaan. Saya masih selesa menguruskan sendiri perjalanan seni Anggrek kerana dia masih kecil.

“Ikut perancangan, saya akan bawa dia masuk kelas vokal dan muzik seperti cadangan juri. Kita lihat nanti. Gelaran juara ini juga satu permulaan dalan karier seninya,” katanya.

Sementara itu, komen juri, Sarimah Ibrahim menyatakan kedua-dua aksinya berjaya memperlihatkan kemampuan untuk pergi lebih jauh di industri hiburan tanah air.

“Tahniah! Kali kedua kita berjaya alih mata daripada bintang sebenar, awak baru umur sembilan tahun, dalam 10 tahun kalau dah asuh kita bertuah akan dapat lihat perjalanan awak,” ujarnya.

Dalam pada itu, juri jemputan Hael Husaini mengakui anak kecil itu menjadi kesayangan penonton sejak pertandingan bermula 10 minggu yang lalu.

“Awak memang ditakdirkan untuk berada di atas pentas. Awak menjadi kesayangan Malaysia sebab keikhlasan awak  apabila buat persembahan,” katanya.

Seorang lagi juri tetap, Datuk Syafinaz memuji aksi hebat Anggrek, malah meminta Adira menggilap potensi si kecil itu dengan mendapatkan bimbingan pakar.  

“Bukan mudah nak buat ini. Kalau awak ada masa yang lebih mesti awak akan lebih baik tapi tidak bermakna awak tak bagus. Manager sila hantar anak awak ke kelas muzik,” katanya.

Dalam program berkonsep hiburan kekeluargaan tersebut, naib johan dimenangi Hussain bersama Jamilulhayat; tempat ketiga diraih Datuk Seri Vida dan Cik B, manakala di tangga keempat dan kelima adalah Datuk A. Aida (Azeva) serta Safura (Kim Khairii).

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN