CARACAS – Dua gempa bumi kuat bermagnitud 7.2 dan 7.5 menggegarkan kawasan sama di Venezuela semalam, menyebabkan sebilangan bangunan runtuh, lapor Jabatan Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) dan wartawan AFP.
Gempa berkembar itu mencetuskan suasana panik di ibu negara, Caracas dengan orang ramai menjerit dan bertempiaran lari keluar ke jalanan.
“Tidak diketahui sama ada berlaku kematian tetapi bangunan-bangunan runtuh dan bumbung berkecai,” kata Menteri Dalam Negeri Diosdado Cabello.
Wartawan AFP melihat sebuah bangunan 22 tingkat musnah sepenuhnya di kejiranan Altamira, Caracas.
Gempa pertama berpusat 21 kilometer ke barat bandar pesisir Moron dan berlaku pukul 6.04 pagi (waktu Malaysia), kata USGS. Seminit kemudian, gempa bermagnitud 7.5 pula
melanda kira-kira 45 kilometer jauhnya.
Pada kedalaman 10 kilometer, gegaran kedua mendorong jeritan panik di sebuah pusat beli-belah di Caracas, demikian menurut seorang lagi wartawan AFP. Pusat gempa pertama berada pada kedalaman 22 kilometer bawah tanah. – AFP














