PHILADELPHIA – Aksi Piala Dunia 2026 antara Perancis dan Iraq terpaksa ditangguhkan susulan amaran ribut petir yang melanda kawasan sekitar stadium, sebentar tadi.
Menurut kenyataan FIFA, aksi babak kedua tidak dapat diteruskan selepas cuaca buruk dikesan menghampiri venue perlawanan.
Satu pengumuman turut dipaparkan pada skrin stadium yang mengarahkan penyokong meninggalkan kawasan tempat duduk terbuka dan mendapatkan perlindungan di lokasi yang lebih selamat.
“Sila tinggalkan kawasan tempat duduk terbuka dan dapatkan perlindungan di dalam stadium seperti yang diarahkan oleh petugas.
“Satu ribut petir kuat sedang menghampiri kawasan ini,” menurut mesej tersebut.
Jurucakap FIFA memaklumkan perlawanan hanya boleh disambung sekurang-kurangnya 30 minit selepas waktu rehat separuh masa bermula, tertakluk kepada keadaan cuaca semasa.
Situasi itu bukan sesuatu yang luar biasa dalam kejohanan yang berlangsung di Amerika Syarikat kerana FIFA perlu mematuhi protokol keselamatan tempatan berkaitan ancaman kilat.
Mengikut peraturan yang diguna pakai di negara itu, perlawanan mesti dihentikan serta-merta sekiranya kilat dikesan dalam radius kira-kira 13 kilometer dari stadium.
Perlawanan hanya boleh diteruskan selepas tempoh 30 minit berlalu tanpa sebarang sambaran kilat baharu direkodkan.
Sebagai rekod, skuad Les Blues mendahului 1-0 hasil jaringan Kylian Mbappe pada awal babak pertama. – AGENSI














