PUTRAJAYA – Penyedia perkhidmatan media sosial boleh dikenakan tindakan berkaitan kandungan melibatkan kejadian bunuh diri sekiranya ada aduan dibuat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, tindakan itu boleh diambil kepada penyedia perkhidmatan terlibat berdasarkan peruntukan dalam Akta Keselamatan Dalam Talian.
Katanya, beliau turut mengharapkan penglibatan platform media sosial dalam isu terbabit kerana penyebaran kandungan bukan berpunca daripada media sahaja, sebaliknya melibatkan kegagalan platform dalam menurunkan kandungan sepatutnya.
“Masalahnya banyak daripada kandungan kadangkala ditulis dalam bahasa tempatan dan tidak dapat dikesan oleh kecerdasan buatan (AI).
“Jadi, saya harap pihak MCMC dapat menjemput platform untuk duduk bersama meneliti dan mengambil tindakan yang lebih proaktif.
“Platform harus mengambil tindakan. Sekiranya mereka gagal dan kita dapati ada aduan, maka MCMC boleh mengambil tindakan terhadap platform itu atas kegagalan berdasarkan Akta Keselamatan Dalam Talian,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Persidangan Meja Pelaporan Media Selamat dan Sesi Latihan Interaktif: Pelaporan Media Selamat dan Bertanggungjawab Mengenai Tingkah Laku Bunuh Diri di sini hari ini.
Sementara itu, kerajaan masih berharap untuk organisasi media melaksanakan kawalan kendiri dalam pelaporan membabitkan isu sensitif termasuk kes bunuh diri.
Fahmi berkata, pada masa sama, kerajaan juga tidak akan melaksanakan sekatan terhadap organisasi media untuk melaporkan kes sedemikian.
Beliau berkata, untuk tujuan kawal selia, kerajaan sudah membawa Akta Majlis Media Media selain memberi sokongan termasuk melalui Malaysia Press Institute (MPI) untuk menjalankan latihan dalam bidang kewartawanan, selain meningkatkan latihan etika kewartawanan.
“Kita ingin mengambil sikap biarlah rakan-rakan media melaksanakan kawalan kendiri, bukan tindakan daripada pihak kerajaan.
“Dan ini cara yang lebih murni, lebih ke depan, lebih progresif. Pada masa sama isunya bukan sekadar media, isunya juga melibatkan platform-platform media,” – KOSMO! ONLINE














