LIVERPOOL – Penyerang Uruguay, Darwin Nunez dilaporkan berpeluang kembali beraksi di Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila bakal meninggalkan kelab Arab Saudi, Al-Hilal selepas hanya semusim bersama pasukan itu.
Nunez yang berhijrah dari Liverpool ke Al-Hilal tahun lalu gagal menikmati perjalanan karier yang diharapkan apabila semakin tersisih daripada perancangan pasukan tersebut.
Meskipun memulakan kempen dengan baik, situasinya berubah selepas ketibaan penyerang Perancis, Karim Benzema pada Januari lalu sehingga menyebabkan namanya digugurkan daripada skuad utama.
Keadaan itu berlaku susulan peraturan Liga Pro Saudi yang hanya membenarkan lapan pemain import berusia lebih 22 tahun didaftarkan dalam skuad bagi setiap musim.
Difahamkan, pemain berusia 26 tahun itu tidak lagi beraksi sejak Februari dan kini telah mencapai persetujuan dengan Al-Hilal untuk menamatkan kerjasama sebaik sahaja musim berakhir.
Sekiranya kontraknya ditamatkan, Nunez berpotensi menjadi ejen bebas sekali gus membuka peluang kepada beberapa kelab EPL untuk mendapatkan khidmatnya tanpa perlu membayar yuran perpindahan.
Newcastle United dan Chelsea dilaporkan antara pasukan yang sedang memantau rapat perkembangan tersebut bagi memperkuatkan jentera serangan masing-masing menjelang musim baharu.– AGENSI














