PETALING JAYA – Tindakan seorang pemandu trak pikap yang memandu secara mengundur di jalan raya sehingga membahayakan pengguna lain menggemparkan orang ramai selepas rakaman kejadian itu tular di media sosial hari ini.
Difahamkan, kejadian berlaku di kawasan Seberang Jaya, Pulau Pinang berhampiran Sunway Carnival Mall antara pukul 8 pagi hingga 10 pagi tadi.
Menerusi video yang dikongsikan di Facebook oleh seorang pengguna dikenali sebagai Ramesh Kasi, trak pikap berwarna jingga bercorak hitam itu dilihat bergerak secara mengundur dalam tempoh yang agak lama di atas jalan raya yang sibuk dengan kenderaan lain.
Perbuatan berbahaya tersebut menyebabkan beberapa pengguna jalan raya terpaksa memperlahankan kenderaan masing-masing bagi mengelakkan kemalangan.
Menurut dakwaan netizen, pemandu terbabit dipercayai turut melanggar beberapa kenderaan lain sebelum bertindak melarikan diri.
Ramesh dalam hantaran tersebut mempersoalkan kewarasan pemandu berkenaan susulan aksi berbahaya yang dipamerkan.
“Kepala pemandu sudah ‘short circuit’? Memang stuntman (pelakon lagak ngeri) di jalan raya ini, Seberang Jaya dekat Sunway Carnival Mall,” tulisnya.
Dalam video berbeza, pemandu trak pikap tersebut dilihat memasuki kawasan sebuah stesen minyak dan bergerak secara mengundur ketika beberapa individu lain cuba menahannya.
Sementara itu, seorang pengguna Facebook, Nurul Sharinie mendakwa dia berada berhampiran lokasi kejadian ketika insiden tersebut berlaku.
“Akhirnya ada dashcam (rakaman kamera papan pemuka). Yang kena langgar tadi sebelah kereta kami. Gila betul, lepas langgar pakat (terus) terjun lari masuk hutan tebu sebelah jalan,” dakwanya di ruangan komen.
Perkongsian itu turut mengundang pelbagai reaksi orang ramai yang meluahkan kebimbangan terhadap keselamatan pengguna jalan raya.
“Banyak sangat orang gila memandu kereta zaman sekarang ini,” kata Hafizul Haqim.
Seorang lagi pengguna, Paul K. Joseph pula meninggalkan komen ringkas mendakwa kemungkinan pemandu berada bawah pengaruh bahan terlarang.
“Hisap piu piu”, dakwanya.
Ficry Yusof pula menyifatkan kejadian tersebut seolah-olah babak dalam permainan video popular.
“Ini real GTA Malaysia ni,” katanya.
Dalam pada itu, Derek Alan berpendapat kejadian sedemikian semakin kerap berlaku dan mencetuskan persoalan mengenai tahap kesihatan mental serta kemungkinan penyalahgunaan dadah dalam kalangan segelintir pemandu.
Bagaimanapun, setakat ini belum ada kenyataan rasmi dikeluarkan pihak berkuasa berhubung punca sebenar kejadian mahupun identiti pemandu terbabit. – KOSMO! ONLINE














