JAKARTA – Sebuah video yang tular di aplikasi TikTok baru-baru ini mencetuskan kekaguman dalam kalangan pengguna media sosial selepas memaparkan sebuah kandang lembu yang sangat mewah dan eksklusif di Madura.
Klip video dikongsi oleh pengguna akaun TikTok @/jetmatic itu menunjukkan premis berkenaan dibina dengan reka bentuk moden, selain keadaannya yang sangat bersih, luas dan tersusun rapi, jauh berbeza daripada kandang haiwan yang biasa dilihat.
Difahamkan, ruang penginapan serba mewah itu sebenarnya dibina khusus untuk menempatkan ‘lembu karapan’ (lembu lumba tradisional Madura) yang memiliki nilai pasaran fantastik, mencecah ratusan juta hingga berbilion-bilion rupiah (ratusan ribu ringgit) seekor.
Memandangkan nilai pelaburan haiwan tersebut sangat tinggi, pemiliknya tidak berkira untuk menyediakan kemudahan dan penjagaan pada tahap paling maksimum.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen meluahkan rasa kagum, malah ada yang berseloroh membandingkan kemewahan kandang haiwan itu dengan taraf hidup mereka sendiri.
“Lembu pun duduk di hotel bintang lima, manakala kita pula masih lagi menyewa rumah,” kata seorang netizen. – AGENSI














