REMBAU – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh menegaskan Barisan Nasional (BN) berhak menentukan bentuk kerjasama politiknya tanpa perlu dipersoalkan oleh mana-mana pihak.
Beliau berkata, tidak timbul isu tidak menghormati rakan dalam Kerajaan Perpaduan sekiranya BN memilih untuk bekerjasama dengan parti lain dalam keadaan tertentu.
“Apa yang tidak hormatnya? Saya mahu tahu apa yang tidak hormat sedangkan di Sabah, Warisan berada dalam Kerajaan Perpaduan, tetapi Warisan juga melawan Pakatan Harapan (PH) ketika itu.
“Jadi, dalam politik saya rasa tidak ada salahnya. Perlu diketahui antara BN dan PH tidak ada satu pun persefahaman mengenai persamaan politik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Santai Ngoca Sawah di Sungai Serai, Semerbok di sini, petang tadi.
Menurut Dr. Akmal, BN mempunyai hak untuk menentukan haluan dan bentuk kerjasama politiknya, sebagaimana PH turut bebas membuat keputusan sendiri.
“BN adalah hak kami. Kalau PH mahu bekerja bersama pihak lain, itu hak mereka,” katanya.
Beliau turut memberikan contoh situasi politik di Sabah apabila UMNO dan BN membuat ketetapan untuk tidak bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS), namun Pakatan Harapan memilih untuk menjalin kerjasama dengan gabungan tersebut. – KOSMO! ONLINE














