KUALA LUMPUR – Suasana penuh emosi menyelubungi istiadat Paluan Berundur Timbalan Ketua Polis Negara apabila Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain hadir memberi penghormatan terakhir kepada Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur, hari ini.
Detik menyentuh hati itu disaksikan sejurus selepas Ayob Khan selesai bergambar bersama anggota Unit Tindak Khas (UTK) di pintu utama.
Mohd. Shuhaily yang hadir dilihat menghampiri Ayob Khan sebelum kedua-duanya berpelukan erat dalam suasana penuh emosi.
Difahamkan, Ayob Khan dianggap sebagai mentor yang banyak membimbing Mohd. Shuhaily sepanjang perjalanan kerjayanya dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Mohd. Shuhaily turut memohon izin sebelum menyertai pasukan pengiring bagi mengiringi Ayob Khan meninggalkan Pulapol.
Terdahulu, Ayob Khan menerima penghormatan penuh menerusi istiadat Paluan Berundur Timbalan Ketua Polis Negara di padang kawad Pulapol.
Beliau melakukan pemeriksaan kawalan kehormatan sebelum Jalur Gemilang dinaikkan dengan diiringi lagu Negaraku dan Sang Saka Biru yang dimainkan oleh Pancaragam PDRM.
Istiadat berkenaan turut menyaksikan lintas hormat kawalan kehormatan, pengunduran panji-panji polis, penyampaian cenderamata serta acara tradisi Paluan Berundur.
Ayob Khan bersama isterinya, Puan Sri Zalena Mohd. Ariffin kemudian menaiki kenderaan rasmi menuju ke pondok pengawal Pulapol sebelum meninggalkan pusat latihan itu.
Terdahulu, Ayob Khan menyerahkan tugas kepada Datuk Seri Ibrahim Darus yang dilantik sebagai pemangku Timbalan Ketua Polis Negara. – KOSMO! ONLINE














