fbpx
Ayob Khan ketika berucap pada Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Negara di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur, hari ini. Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON/KOSMO!

Jangan jual maruah kerana wang – Ayob Khan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – “Jangan rosakkan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) hanya kerana kepentingan diri. Jangan jual maruah kerana wang.”

Itu pesanan terakhir Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay kepada seluruh warga Sang Saka Biru menjelang persaraan wajibnya esok selepas hampir 35 tahun menabur bakti dalam PDRM.

Ayob Khan berkata, meskipun beliau tidak lagi berada dalam barisan kepimpinan PDRM, doa dan harapannya akan sentiasa bersama pasukan itu yang disifatkan lebih daripada sekadar sebuah kerjaya.

“Pasukan ini memberikan saya keluarga dan sahabat. Pasukan ini mengajar saya erti keberanian, kesetiaan, kehilangan, pengorbanan dan juga tidak semua perkara dalam hidup menjadi milik kita untuk selama-lamanya.

“Akan tiba masanya kita perlu melepaskan, bukan kerana kita tiada hati, tetapi kerana amanah itu perlu diteruskan oleh generasi yang berikutnya,” katanya ketika berucap di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Beliau menegaskan, seluruh warga PDRM perlu terus memelihara nama baik pasukan yang dibina hasil pengorbanan anggota terdahulu.

“Jagalah pasukan dan seragam ini. Jagalah nama baik institusi yang telah dibina dengan darah, keringat dan nyawa rakan-rakan kita yang terdahulu.

“Jangan gunakan kuasa untuk menindas mereka yang lemah dan jangan sesekali lupa bahawa di sebalik setiap kuasa yang kita miliki, terdapat rakyat yang mengharapkan keadilan,” ujarnya.

Ayob Khan berkata, integriti perlu terus dipertahankan kerana ia bukan dinilai ketika seseorang dipuji, sebaliknya ketika tiada sesiapa melihat.

Beliau turut mengingatkan warga PDRM bahawa setiap amanah dan kuasa yang diberikan akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT.

“Ingatlah, manusia mungkin tidak melihat, ketua mungkin tidak mengetahui. Namun, Allah SWT sentiasa melihat. Malaikat Raqib dan Atid sentiasa mencatat.

“Setiap amanah akan dipersoalkan. Setiap kuasa akan dipertanggungjawabkan. Pada akhirnya, kita semua akan berdiri di hadapan Allah SWT bukan dengan pangkat atau jawatan, tetapi dengan amal dan perbuatan kita,” tambahnya.

Terdahulu, majlis serah terima tugas menyaksikan Ayob Khan secara rasmi menyerahkan jawatan Timbalan Ketua Polis Negara kepada Datuk Seri Ibrahim Darus yang dilantik sebagai pemangku berkuat kuasa hari ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN