fbpx
Armizan pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Fleet Card Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) Kompleks Sukan Sandakan, Sabah hari ini. Foto ihsan media KPDN.

15,388 syarikat daftar SKDS bagi jip, pikap persendirian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Sebanyak 15,388 syarikat melibatkan 25,781 kenderaan persendirian syarikat jenis jip dan pikap telah berdaftar di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) setakat 23 Julai lalu susulan peluasan kelayakan kepada kategori tersebut.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, peluasan kelayakan yang bermula pada 3 Julai lalu merupakan antara penambahbaikan utama pelaksanaan SKDS bagi membolehkan perniagaan milikan tunggal dan perkongsian menikmati subsidi diesel melalui mekanisme berkenaan.

Menurutnya, daripada jumlah keseluruhan itu, sebanyak 10,453 syarikat melibatkan 18,538 kenderaan atau 67.9 peratus penerima manfaat adalah dari Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

“Perkembangan ini menunjukkan sambutan yang positif daripada syarikat-syarikat yang layak di Sabah, Sarawak dan WP Labuan terhadap peluasan kelayakan SKDS bagi kategori Persendirian Syarikat – Jip dan Pikap.

“Bagi syarikat yang telah mendapat kelulusan SKDS, langkah seterusnya adalah mendapatkan fleet card daripada syarikat minyak bagi membolehkan pembelian diesel bersubsidi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Fleet Card Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) Kompleks Sukan Sandakan, Sabah hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, setakat 23 Julai lalu, sebanyak 190,012 syarikat membabitkan 493,160 kenderaan telah berdaftar di bawah SKDS di seluruh negara merangkumi tiga sektor iaitu Pengangkutan Darat (Awam), Pengangkutan Darat (Barangan Keperluan Pengguna) dan Pengangkutan Darat (Persendirian Syarikat – Jip dan Pikap).

Katanya, semua syarikat yang memenuhi syarat kelayakan tetapi masih belum berdaftar supaya digesa segera mengemukakan permohonan melalui portal MySubsidi.

Tambah beliau, KPDN akan terus bekerjasama dengan Kementerian Kewangan, kerajaan negeri, syarikat minyak serta pihak berkepentingan bagi memperkukuh pelaksanaan SKDS dari semasa ke semasa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN