fbpx
Pengarah Urusan, Smartfix Pro Centre, Muhammad Zulfadhli Taha (tiga kiri) menjadi penaja rasmi Cultural Jam@TMB100 dengan kerjasama Baling Escapade Festival 2026 hadir pada sidang akhbar di Alor Setar baru-baru ini.

The Magnificent Baling 100 bakal jana hasil RM7.8 juta kepada ekonomi negeri Kedah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR  – The Magnificent Baling 100 (TMB100) 2026 bakal kembali dengan skala yang lebih besar dalam usaha memperkukuhkan kedudukannya sebagai antara acara larian denai (ultra trail) paling berprestij di Malaysia.

Penganjur merangkap Pengarah Urusan Ten Senses (M) Sdn Bhd, Mohd. Bukhari Ismail berkata, acara ini juga bakal mengangkat Baling sebagai destinasi pilihan pelari lasak dalam dan luar negara untuk menikmati pengalaman mencabar dengan latar belakang keindahan alam semula jadi di daerah itu.

Menurut beliau, dikenali dengan laluan mencabar, panorama gunung batu kapur ikonik dan keindahan hutan tropika, TMB100 bukan sekadar sebuah perlumbaan, malah turut menjadi platform mempromosikan Baling sebagai destinasi sukan pelancongan bertaraf antarabangsa yang sukar ditemui di lokasi lain.

“Dengan kos penganjuran dianggarkan hampir menelan belanja RM2 juta, penganjuran TMB100 2026 turut dijangka memberi impak ekonomi sebanyak RM7.8 juta setempat menerusi kehadiran kira-kira 11,400 pengunjung dan 4,200 peserta dalam dan luar negara.

“Ia sekali gus memberi limpahan ekonomi terus kepada peniaga kecil, usahawan tempatan, pengusaha inap desa, pemandu e-hailing serta sektor perkhidamatan pelancongan setempat.

“Acara pada 31 Julai ini selama dua hari ini juga menjadi pemangkin kepada pembangunan sukan di daerah Baling serta negeri Kedah secara keseluruhannya,” katanya pada sidang media di sini baru-baru  ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan negeri, Datuk Mohd. Salleh Saidin, Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan & Kos Sara Hidup, Belia dan Sukan, Muhamad Radhi Mat Din dan Pegawai Daerah Baling, Yazlan Sunardie Che Yahaya.

Mengulas lanjut, Mohd. Bukhari menambah, pihaknya berbesar hati dengan sokongan penaja seperti Pro Apparel Asia, Boom+, Checkpointspot, EQool Enviro Sdn. Bhd. dan Brooks bagi menjayakan acara yang memasuki tahun keempat penganjurannya.

“Pihak penganjur menjemput seluruh komuniti larian, peminat aktiviti lasak dan orang ramai untuk bersama-sama menjadi sebahagian daripada TMB100 kerana ia bukan sekadar tentang menamatkan perlumbaan.

“Sebaliknya ia bertujuan membuka peluang kepada komuniti tempatan, mempromosi Kedah ke persada dunia, menginspirasikan gaya hidup yang lebih sihat, meraikan seni dan budaya serta membina legasi yang berkekalan untuk generasi akan datang.

“Bersama-sama, kita mengangkat Baling sebagai sebuah destinasi yang dikenali dan dihormati jauh melangkaui sempadan Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan, Raydiates Blue Sdn Bhd, Rayme Zainal berkata, The Cultural Jam buat pertama kalinya akan diadakan bersempena TMB100.

Acara itu telah mendapat kerjasama Baling Escapade Festival (BEF) 2026  dan Smartfix Pro Centre iaitu rangkaian pusat pakar servis dan baik pulih gajet yang terkenal khususnya di wilayah utara sebagai penaja rasmi festival.

Menurutnya, festival itu diadakan bagi menambah kemeriahan bagi menggalakkan keusahawanan tempatan dengan penglibatan peniaga-peniaga di Baling dan sekitar selain turut mempromosi program-program seni budaya serta makanan tradisi tempatan melalui Anjung Malaysiaku Foodie Fiesta.

Kata beliau, dua acara itu medapat sokongan Kementerian Pelancongan, Seni & Budaya (MOTAC), Tourism Kedah serta rakan kerjasama strategik iaitu Majlis Amanah Rakyat (MARA) Kedah dan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) dan Majlis Daerah Baling. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN