PETALING JAYA – Blackmores Malaysia buat julung kalinya telah menganjurkan Karnival Jom!Fit bertujuan untuk memperkasa penjagaan kesihatan pencegahan tulang dan sendi yang semakin meningkat dalam kalangan golongan muda.
Karnival dengan kerjasama CARiNG Pharmacy, sebuah jenama farmasi di bawah Kumpulan BIG CARING itu diadakan bersempena ulang tahun ke-50 syarikat kesihatan semula jadi dalam menyokong perjalanan kesihatan dan kesejahteraan rakyat.
Pengarah Urusan Asia Kumpulan Blackmores, Andrew Fuary berkata, sepanjang acara berlangsung, pengunjung berpeluang meneroka pelbagai pengalaman interaktif termasuk saringan kesihatan, cabaran fizikal dan sesi konsultasi dengan ahli farmasi.
Turut diadakan aktiviti mesra keluarga yang bertujuan menjadikan penjagaan kesihatan secara pencegahan lebih menarik dan mudah difahami.
Menurut beliau, pihaknya percaya bahawa mencegah penyakit lebih baik daripada mengubatinya apatah memiliki status ebagai jenama yang mempunyai legasi lebih daripada 90 tahun dalam bidang kesihatan semula jadi dan 50 tahun berkhidmat untuk komuniti di Malaysia.
“Tanggungjawab kami bukan sekadar menyediakan penyelesaian kesihatan yang dipercayai.

“Kami komited untuk meningkatkan kesedaran, menggalakkan gaya hidup yang lebih sihat dan membantu orang ramai menjaga kesihatan mereka untuk jangka panjang.
“Menerusi visi ‘More Health, More Life’ dan kerjasama dengan rakan penjagaan kesihatan yang dipercayai seperti CARiNG Pharmacy, kami berharap dapat menginspirasikan lebih ramai orang untuk mengambil langkah proaktif demi menjaga kesejahteraan mereka dan menjadikan penjagaan kesihatan secara pencegahan sebagai sebahagian daripada kehidupan seharian,” katanya dalam kenyataan.
Karnival Jom!Fit yang diadakan selama hari bermula 22 Julai lalu telah memberi peluang peserta untuk menyempurnakan Cabaran 500 Wellness Laps yang membolehkan peserta menerima hadiah eksklusif sebagai pengiktirafan terhadap komitmen mereka mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat setiap hari.
Selain itu, Blackmores turut menyumbang 200 produk kesihatan kepada kelab larian yang mengambil bahagian sebagai tanda penghargaan terhadap peranan mereka dalam menggalakkan lebih ramai rakyat kekal aktif dan mengamalkan gaya hidup sihat.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Kumpulan BIG CARiNG, Lim Sin Yin berkata, farmasi komuniti sering menjadi tempat pertama bagi orang ramai mendapatkan nasihat dan sokongan kesihatan yang mana pihaknya melihat peranan ini sebagai peluang untuk meluaskan akses kepada penjagaan kesihatan.
Kata beliau, kumpulan itu juga membantu orang ramai membuat keputusan kesihatan berdasarkan maklumat yang tepat dan menggalakkan masyarakat mengambil pendekatan yang lebih proaktif terhadap kesihatan mereka.
“Dengan menggabungkan kepakaran syarikat dalam bidang kesihatan semula jadi itu dengan rangkaian CARiNG Pharmacy yang dipercayai serta hubungannya yang kukuh dengan komuniti, kami berharap dapat mendekatkan penjagaan kesihatan secara pencegahan dengan masyarakat setempat.
“Kami juga berharap dapat menginspirasikan lebih ramai rakyat supaya mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat bagi menyokong kesejahteraan jangka panjang mereka,” katanya. -KOSMO! ONLINE














