fbpx
RAMAI individu tidak menyedari tulang mereka semakin rapuh sehingga mengalami patah tulang akibat terjatuh atau kecederaan ringan.

Saringan percepat kesan masalah tulang rapuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEMAJUAN teknologi kecerdasan buatan (AI) kini semakin meluas dalam sektor penjagaan dan pengesanan kesihatan.

Ini termasuk membantu doktor mengesan risiko osteoporosis lebih awal menerusi sistem AI pengimbasan tulang. 

Berbeza dengan kaedah konvensional yang memerlukan pemeriksaan ketumpatan mineral tulang menggunakan imbasan Dual-Energy X-ray Absorptiometry (DXA), teknologi baharu seperti VeriOsteo OP memanfaatkan imej sinar-X dada yang sedia ada bagi menilai kesihatan tulang tanpa memerlukan prosedur tambahan. 

Menurut Pengasas dan Pengarah Urusan sebuah syarikat penjagaan kesihatan dan farmaseutikal, Brego, Dr. Danny Wong, pendekatan ini bukan sahaja mempercepatkan proses saringan, malah membuka peluang kepada lebih ramai individu mendapatkan penilaian awal sebelum penyakit menjadi lebih serius.

“Konsep yang digunakan dikenali sebagai opportunistic screening atau saringan oportunistik iaitu penggunaan imej perubatan yang telah diambil untuk tujuan mengesan keadaan kesihatan tambahan. 

“Dalam konteks kesihatan tulang, sistem AI akan menganalisis imej sinar-X dada untuk menganggarkan ketumpatan mineral tulang serta menghasilkan laporan berdasarkan tahap risiko pesakit,” katanya dalam satu sesi temu bual secara dalam talian bersama K-Tekno.

Tambahnya, keputusan tersebut kemudiannya dinilai bersama faktor lain seperti umur, sejarah kesihatan, simptom dan faktor risiko sebelum doktor menentukan sama ada pesakit memerlukan ujian lanjut, perubahan gaya hidup atau rawatan yang bersesuaian.

Pendekatan ini amat signifikan kerana osteoporosis sering digelar sebagai ‘penyakit senyap’. Ramai individu tidak menyedari tulang mereka semakin rapuh sehingga mengalami patah tulang akibat terjatuh atau kecederaan ringan. 

HASIL analisis yang menggunakan imbasan DXA akan menunjukkan gambaran tentang anggaran kondisi ketumpatan tulang pesakit.

Apabila keadaan itu berlaku, penyakit lazimnya sudah berada pada tahap yang lebih serius. Dengan memperkenalkan saringan AI di klinik penjagaan primer, doktor dapat mengenal pasti individu berisiko lebih awal, sekali gus membolehkan langkah pencegahan diambil sebelum komplikasi berlaku.

Di Malaysia, klinik penjagaan primer merupakan pintu masuk utama kebanyakan masyarakat untuk mendapatkan rawatan kesihatan. 

Justeru, penggunaan AI di peringkat ini mampu meningkatkan akses kepada pemeriksaan osteoporosis, khususnya bagi mereka yang tidak kerap mengunjungi hospital atau tinggal di kawasan yang mempunyai akses terhad kepada mesin DXA. 

Kongsi Danny lagi, oleh kerana kebanyakan klinik sudah menggunakan sinar-X dada sebagai sebahagian daripada pemeriksaan rutin, AI hanya memanfaatkan data sedia ada tanpa mendedahkan pesakit kepada radiasi tambahan.

“Bagi petugas kesihatan pula, teknologi ini berfungsi sebagai alat sokongan klinikal yang membantu mengenal pasti pesakit yang berpotensi mempunyai ketumpatan tulang rendah. 

“Walaupun AI mampu memberikan analisis yang pantas berdasarkan model pembelajaran mendalam (deep learning) yang dilatih menggunakan set data klinikal berskala besar, keputusan akhir tetap berada di tangan doktor,” ujarnya.

TEKNOLOGI baharu seperti VeriOsteo OP memanfaatkan imej sinar-X dada yang sedia ada bagi menilai kesihatan tulang tanpa memerlukan prosedur tambahan.

Golongan yang disarankan menjalani saringan termasuk wanita selepas menopaus, lelaki dan wanita berusia lebih 50 tahun, selain individu yang menghidap penyakit kronik seperti penyakit buah pinggang, hati, artritis reumatoid dan gangguan endokrin. 

Mereka yang mengambil ubat tertentu dalam tempoh panjang seperti glukokortikoid, antikonvulsan, ubat imunosupresif dan beberapa ubat rawatan kanser juga berisiko mengalami osteoporosis, sekali gus memerlukan pemantauan yang lebih rapi.

“Walaupun potensinya besar, pelaksanaan AI bone scanning di klinik penjagaan primer masih berdepan beberapa cabaran seperti kos, latihan kakitangan, integrasi ke dalam aliran kerja klinik dan kefahaman masyarakat terhadap teknologi AI. 

“Selain itu, tidak semua klinik memiliki sistem sinar-X digital yang diperlukan bagi membolehkan analisis dilakukan secara optimum,” katanya.

Namun begitu, jelasnya, cabaran ini boleh diatasi menerusi kerjasama antara penyedia teknologi, institusi kesihatan dan pihak berkuasa bagi menyediakan latihan, pendidikan pesakit serta infrastruktur yang lebih menyeluruh.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN