fbpx
Gambar yang dimuat naik di Threads oleh @Drshahkg memaparkan dalang penipuan 'love scam' terhadap adiknya.

‘Hari-hari saya selamatkan orang, tapi gagal selamatkan adik sendiri’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – “Setiap hari saya merawat dan cuba menyelamatkan orang yang saya tidak kenal. Tetapi orang yang paling disayang, saya sendiri tidak mampu menyelamatkannya.”

Demikian pendedahan seorang doktor menerusi akaun Threads @Drshahkg apabila adik perempuannya menjadi mangsa penipuan cinta atau ‘love scam’ sehingga mengalami kerugian harta benda dan tekanan emosi.

Menurutnya, pada Februari yang lalu, adiknya berkenalan dengan seorang lelaki yang mendakwa dirinya bekerja di sebuah agensi penguat kuasa sebelum kedua-duanya merancang untuk berkahwin dalam tempoh yang singkat pada bulan Mac.

“Adik saya memberitahu lelaki itu mempunyai pekerjaan yang baik, kewangan yang kukuh, seorang yang taat agama dan mampu membina masa depan bersama. Sebagai keluarga, kami percaya kerana itulah yang biasanya dilakukan oleh sesebuah keluarga apabila anak memberitahu sudah menemui orang yang baik.

“Namun, selepas majlis akad nikah berlangsung pada 26 Mac lalu, satu demi satu perkara mula terbongkar. Hantaran yang dijanjikan tidak diberikan dan perbelanjaan kenduri yang sepatutnya ditanggung pihak lelaki juga tidak dibayar,” katanya pada hantaran tersebut.

Lebih malang lagi, kehidupan adiknya berubah sepenuhnya apabila kad kredit digunakan sehingga mencapai had maksimum, manakala kereta Mini Cooper yang dihadiahkan oleh ibunya terpaksa dijual.

“Pemiutang mula menghubungi ibu saya untuk menuntut bayaran. Lebih menyedihkan, tanah milik ayah yang didaftarkan atas nama adik didakwa telah dirancang penjualannya tanpa pengetahuan dan kebenaran ayah. Geran asal tanah itu juga tidak lagi berada dalam simpanan keluarga,” ujarnya lagi.

Tambahnya, ibu mereka kini mengalami tekanan emosi yang berat dan kerap menangis, manakala adiknya terputus bekalan wang sehingga ibu terpaksa memasak serta menghantar makanan kepadanya.

Bagi membantu siasatan, doktor itu memaklumkan pihaknya telah membuat laporan polis dan menyerahkan segala dokumen, kronologi serta bukti berkaitan kepada pihak berkuasa.

Beliau turut menegaskan pendedahan tersebut dibuat bukan untuk membuka aib mana-mana pihak mahupun mengajak masyarakat menghukum di media sosial, sebaliknya sebagai ikhtiar untuk memberi kesedaran bahawa jenayah ‘love scam’ boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.

“Jika anak anda baru mengenali seseorang, hubungan berkembang terlalu cepat dan urusan kewangan mula melibatkan pasangan, berhentilah seketika. Semak latar belakang dan minta pandangan ahli keluarga,” nasihatnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN