fbpx
Hishamuddin bersama keluarga mangsa sindiket scammer pada sidang media di pejabat MHO di Kuala Lumpur, hari ini. Foto oleh SADDAM YUSOFF/KOSMO!

‘Adik saya bukan penjenayah, dia mangsa’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – “Adik saya bukan penjenayah, dia mangsa sindiket.”

Demikian rayuan Eddy dari Hulu Langat yang berharap Kerajaan Malaysia dan Kedutaan Taiwan dapat membantu membebaskan adiknya, Shah Iskandar, 20, yang ditahan pihak berkuasa di Taiwan selepas dipercayai menjadi mangsa sindiket ketika mengiringi majikannya sebagai pengawal peribadi.

Eddy berkata, adiknya berlepas ke Taiwan pada 3 Jun lalu bagi mengiringi majikannya sebelum ditahan polis ketika mengeluarkan wang di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) menggunakan kad yang diberikan oleh majikan.

Menurutnya, adiknya hanya sempat mengeluarkan wang menggunakan satu kad sebelum ditahan.

“Saya tak yakin adik saya buat benda salah. Saya yakin dia dianiaya. Kalau ikut cerita dia, bos yang bagi kad kepada dia untuk keluarkan duit. Saya datang jumpa MHO supaya ada ruang untuk bantu adik saya di sana,” katanya pada sidang akhbar Pertubuhan Kemanusiaan Antarabangsa Malaysia (MHO) di sini hari ini.

Beliau berkata, adiknya kini masih berdepan prosiding mahkamah di Taiwan dan belum dijatuhkan hukuman.

Tambahnya, Syah Iskandar turut mendakwa dipaksa membuat pengakuan bersalah oleh penterjemah dan peguam walaupun tidak memahami sepenuhnya proses berkenaan.

Sementara itu, seorang bapa dari Yong Peng, Johor, yang hanya mahu dikenali sebagai Wee, turut merayu bantuan Kerajaan Malaysia bagi mengesan anak lelakinya berusia 35 tahun yang hilang sejak Februari lalu selepas dipercayai menjadi mangsa sindiket di Laos.

Wee berkata, anaknya memaklumkan kepada keluarga bahawa dia mahu ke Taiwan sebelum meninggalkan Malaysia pada 5 Februari 2026.

“Apabila sampai Tahun Baharu Cina, dia tak balik seperti dijanjikan dan kami langsung tidak dapat menghubunginya. Pada 19 Februari saya buat laporan polis kerana gagal menghubunginya. Kemudian pada 5 Mac, saya membuat semakan dengan Jabatan Imigresen di Batu Pahat dan dimaklumkan anak saya telah keluar dari Malaysia pada 5 Februari,” katanya.

Menurut Wee, semakan lanjut dengan syarikat penerbangan AirAsia mengesahkan anaknya menaiki penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Vientiane, Laos. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN