fbpx
Gambar hiasan.

12 warga China terlibat sindiket love scam ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IPOH – Seramai 12 lelaki warga China ditahan yang terlibat sindiket pusat panggilan penipuan dalam talian (love scam) ditahan polis di dua buah rumah masing-masing di Taman Ipoh Selatan dan Medan Pengkalan Setia, di sini kelmarin.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, semua tangkapan tersebut dilakukan susulan dua serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh pada pukul 4.15 petang.

“Hasil daripada kedua-dua serbuan tersebut, pihak polis telah berjaya menahan seramai 12 orang lelaki warganegara China. Kesemua tangkapan berumur dalam lingkungan 25 hingga 40 tahun.

“Berdasarkan siasatan awal dan skrip perbualan yang ditemui dalam komputer riba yang dirampas, pihak polis mempercayai sindiket ini menjalankan aktiviti pusat panggilan bagi penipuan love scam secara dalam talian,” katanya di sini, hari ini.

Mohd. Alwi berkata, sindiket itu telah mula beroperasi di kedua-dua premis terbabit sejak Jun 2026 dan menyasarkan mangsa dari negara China.

Beliau berkata, sindiket tersebut menggunakan aplikasi Telegram dan WeChat serta menggunakan capaian internet tempatan bagi menjalankan aktiviti penipuan.

“Mereka menyamar dengan menggunakan gambar individu berperwatakan menarik bagi menghubungi mangsa secara rawak.

“Mangsa kemudiannya dipujuk untuk terlibat dalam urusan jual beli barangan bagi mendapatkan keuntungan yang tinggi, seterusnya diminta membuat pembayaran secara berulang,” katanya.

Mohd. Alwi berkata, dalam operasi itu, pihak polis turut merampas 158 unit telefon bimbit, enam unit komputer riba, enam unit tetikus, lima unit router wifi, lima skrip perbualan, 15 keping kad sim, tiga uni stesen pengecas USB dan tiga unit penyambung wayar.

Katanya, kesemua rampasan berkenaan dianggarkan bernilai kira-kira RM34,500.

“Kesemua tangkapan kini ditahan reman selama tiga hari bermulai 17 hingga 19 Julai 2026. Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420/120B Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen,” katanya.

“Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman dengan pemenjaraan tidak melebihi 10 tahun dan dengan sebatan dan hendaklah juga dikenakan denda,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN