JIKA diimbas kembali sekitar era 2000, pantang sahaja tekan butang ‘on’ televisyen, pasti wajah Aidid Marcello akan terpampang pada skrin mengemudikan pelbagai program.
Manakan tidak, kandungan pengacaraan dan gaya penyampaiannya amat disenangi ramai, ditambah pula dengan pakej wajah tampan membuatkan mata mudah ‘melekat’ mengikuti program kendaliannya sehingga tamat.
Kini, setelah berpuluh tahun meninggalkan dunia pengacaraan dan penyiaran, aura pemilik nama penuh Aidid Marcello Azahari itu tetap kuat terasa.
Sekian lama menghilang dari dunia hiburan, Aidid kini kembali mewarnai landskap media digital dengan program audio siarnya sendiri iaitu AididitMyWay yang diwujudkan hampir dua tahun lalu.
“November 2024 terhasilkan idea AididitMyWay. Saya mula dengan kawan-kawan artis tapi audio siar saya rungkai cerita sebenar. “Tiada kaitan dengan hiburan.
“Semua perbualan merupakan perkara yang boleh mendatangkan manfaat kepada semua.

“Alhamdulillah audio siar saya semakin hari semakin berkembang dan semua hasil ilmu yang saya belajar masa wartawan dahulu, saya seronok sebab boleh gunakan kembali,” katanya semasa pertemuan empat mata bersama HibGlam tempoh hari.
Menariknya, pembabitan awalnya dalam dunia audio siar bukanlah sesuatu yang dirancang, melainkan tercetus daripada inspirasi seorang rakan selain peluang yang datang secara tidak sengaja.
“Sebenarnya tak terfikir pun nak buat audio siar. Saya tengok seorang sahabat buat audio siar rasa macam seronok.
“Tapi saya nak buat itu tak ada masa. Perangai saya kalau nak buat sesuatu kena betul-betul.
“Ada satu klien datang cakap nak buat bercerita cara audio siar. Dipendekkan cerita, dari situ saya tampilkan audio siar sendiri,” kongsinya.
Berlari sealiran dalam keghairahan para pencipta kandungan digital mengejar jumlah tontonan, lelaki berusia 48 tahun itu enggan terperangkap dalam perlumbaan algoritma yang menuntut manipulasi data.
“Saya sebenarnya tak letakkan macam pertandingan sebab kita akan sakit. Kita akan mula bermain dengan duit untuk bayar Google Ads untuk naikkan jumlah tontonan.
“Tapi berapa lama kita nak tipu diri sendiri? Kita kena tahu tahap kita di mana sebab itu saya selalu rapat dengan pasukan saya.
“Saya beritahu mereka ‘terbuka sahaja, apa benda yang tak seronok atau ada benda nak menambah baik, kita buat sama-sama’.
“Jadi dari situ kita boleh nampak perubahan, apa yang penonton mahu melalui komen-komen yang ditinggalkan,” luahnya.

Sensasi vs privasi
Sebagai seorang yang berpengalaman luas dalam dunia kewartawanan, Aidid tidak menafikan wujudnya dilema moral apabila berhadapan dengan kontroversi panas yang melanda rakan-rakan industri demi meraih publisiti murahan.
“Kadang-kadang saya ada dilema. Contohnya kalau saya panggil seorang rakan industri yang tengah hangat dengan isu peribadi atau keluarga untuk ditemu bual.
“Dalam hati kita tahu, kalau buat tajuk pasal isu sensitif, sah-sah konten itu akan hit sebab orang lain tak boleh dapat temu bual begitu.
“Tapi, itu bukan cara saya, benda itu tak kena dengan jiwa saya. Lebih baik saya angkat sisi lain yang orang tak pernah tahu,” tuturnya.
Setelah lama berborak, bekas penerbit dan pengacara TV3 itu meluahkan kerinduannya terhadap dunia televisyen, gelanggang yang
melahirkan dan menebarkan pengaruh namanya selama ini.
“Tipulah kalau saya cakap tak rindu sebab itu memang tempat saya membesar.
“Cuma konsep program televisyen sekarang banyak yang di luar kemampuan dan saya tahu kelemahan sendiri.
“Bila sudah berusia, dengan masalah sakit tulang belakang, saya dah tak boleh buat aktiviti lasak,” ujarnya.
Melihat kepada senario industri hiburan hari ini, Aidid menyifatkan perubahan ketara berlaku apabila elemen tular lebih didambakan berbanding bakat sebenar.
“Dunia hiburan sekarang sudah berbeza kerana zaman ini mengejar tular dan ‘hype’. Kalau mahu meletup dan mendapat perhatian, seseorang itu kena lain.
“Kita ambil contoh Kak Lina Pom Pom. Dia sebaya saya, datang dari zaman saya jadi wartawan dan dia bermula sebagai penyanyi, bukan pengacara.
“Tetapi secara perlahan-lahan, bakat pengacaraannya menyerlah. Dia tahu apa yang penonton mahu, tetapi dalam masa yang sama dia tetap menjaga adab sebagai hos,” jelasnya.
Selain itu, Aidid turut memberikan pandangan peribadinya mengenai personaliti media sosial, Kasih Iris Leona, yang dilihat mempunyai impak tersendiri kerana keaslian karakternya.
“Secara peribadi, saya juga sukakan karakter Leona. Ketepikan isu pakaiannya, secara dasarnya dia hanya menjadi diri sendiri.
“Karakter dia lurus dan perangainya, cantik saja, berbeza dengan orang lain yang mencari benda untuk dikecam.
“Dia membawa gaya hidupnya seadanya, malah di atas pentas pun dia tetap menjadi dirinya sendiri,” kongsinya.
Aidid turut memuji kredibiliti Alif Satar yang disifatkannya sebagai contoh terbaik seorang pengacara yang kekal relevan rentas generasi tanpa hanyut dengan arus pemikiran generasi kini.
“Begitu juga dengan Alif Satar, yang saya kenali sejak zaman dia mengambil alih rancangan Remaja. Sampai sekarang, walaupun industri dikelilingi gelagat Gen Z, dia tetap mengekalkan jati dirinya.

Kriteria hos
“Alif adalah contoh pengacara yang sangat menjaga nilai dan prinsip diri,” ujarnya.
Bagi Aidid, personaliti yang mengekalkan kualiti dan maruah diri seperti ini sebenarnya mempunyai nilai komersial yang jauh lebih bernilai.
“Hos yang mengekalkan kualiti sebegitu mempunyai nilai pasaran yang sangat tinggi kerana mereka tidak perlu menjatuhkan maruah atau harga diri sendiri semata-mata untuk naik.
“Dunia sekarang tidak ada sesiapa yang bertindak sebagai juri untuk menilai atau menghukum kualiti kerja mereka. Tiada siapa yang peduli tentang asas penyiaran. Asalkan kandungan itu meletup, wajah mereka cantik menawan dan boleh jual barang, pengurusan atau bos akan terus terima,” luahnya.
Pada masa sama, Aidid meluahkan pandangan realistik terhadap standard industri kini yang tidak lagi berpaksikan asas penyiaran sebenar.
“Kriteria utama sekarang hanyalah lulus di mata netizen. Bila netizen komen, ‘eh cantiknya, romantiknya pasangan ini,’ bos terus anggap
pempengaruh itu bagus dan disukai ramai.
“Mereka tak tahu di sebalik 30 komen terawal yang memuji itu sebenarnya adalah daripada ahli keluarga yang diminta berbuat demikian melalui pautan grup WhatsApp.
“Realitinya industri hiburan kini dah jadi sebegitu, jadi kita memang tidak boleh nak komen apa-apa lagi,” tutupnya.















