BINTANG muda olahraga negara, Armin Zahryl Abd. Latif memecahkan rekod kebangsaan 110 meter (m) lari berpagar yang bertahan hampir sembilan tahun pada Kejohanan Olahraga Asia Bawah 23 Tahun (B23) di Ordos, China, kelmarin.
Atlet berusia 21 tahun itu mencatat masa 13.63 saat (s) ketika saingan saringan, sekali gus memperbaharui rekod kebangsaan 13.67s milik Rayzam Shah Wan Sofian yang dilakukan di Weinheim, Jerman pada 2017.
Lebih membanggakan, catatan tersebut bukan sahaja melayakkannya ke pentas final, malah meletakkan Armin sebagai pelari ketiga terpantas Asia Tenggara sepanjang zaman, di belakang jaguh Filipina, John Cabang Tolentino (13.37s).
Prestasi cemerlang itu sebenarnya bukan sesuatu yang mengejutkan apabila Armin sebelum ini konsisten mencatat masa bawah 13.90s sejak meraih pingat gangsa pada Sukan SEA Thailand 2025, selain terus menunjukkan peningkatan pada beberapa kejohanan antarabangsa sepanjang musim ini.
Bekas pemegang rekod kebangsaan, Rayzam menyambut baik pencapaian tersebut selain percaya Armin masih mampu melakukan catatan yang lebih pantas pada masa depan.
“Tahniah kepada Armin dan juga jurulatih dia kerana berjaya memecahkan rekod saya iaitu 13.67s dan dia telah memecahkan dengan rekod 13.63s.
“Saya percaya Armin boleh lari 13.4 ataupun 13.5 sebab saya tahu dia mempunyai kelajuan yang bagus dalam acara 110 meter lari berpagar,” tambahnya lagi.
Dalam masa sama, Rayzam turut memuji seorang lagi wakil negara, Elvin Yap Zhi Xian yang turut mara ke final selepas mencatat rekod peribadi (PB) baharu 13.72s, sekali gus membuktikan Malaysia kini mempunyai dua pelari berpagar yang mampu bersaing di pentas Asia.















