JIKA anak gadis biasa memilih kerja di pejabat berhawa dingin, lain pula dengan Nurizzati Athira Mohamad Yusoff, 27.
Gadis berani ini merupakan seorang penyelam komersial dan jurukimpal di laut dalam (welding & cutting).
Sejak 2019, dia merupakan jurukimpal laut dalam wanita, sekali gus diiktiraf sebagai wanita pertama di negara ini melakukan kerja kimpalan di laut dalam.
Merupakan anak kelahiran Selama, Perak, dia dahulunya belajar di Kolej Vokasional Taiping sebelum ditawarkan oleh majikannya untuk melakukan kerja-kerja kimpalan di laut dalam.
Di bawah bimbingan syarikat Weldzone Training Centre Sdn. Bhd., Nurizzati menjadi jurukimpal terawal negara dalam kalangan wanita yang terlibat dengan kerja berisiko tinggi itu. Tidak sahaja memerlukan kepakaran yang cukup mendalam serta pengetahuan yang meluas, kerjaya tersebut juga memerlukan keberanian luar biasa.
“Awal-awal dahulu memang susah. Sama juga ketika di sekolah vokasional kerana saya satu-satunya pelajar perempuan untuk kimpalan.
“Nak bergaul dengan lelaki pun kekok. Tapi saya tak pernah putus asa sehingga terpilih sebagai antara pelajar terbaik,” katanya kepada K-Kampus.

Menurutnya, dia pernah turun ke kedalaman 30 meter, lebih kurang 20 tingkat bangunan untuk melakukan kerja-kerja kimpalan dan pemotongan.
Nurizzati Athira berkata, biasanya kerja-kerja kimpalan ini dilakukan secara bergilir.
“Paling lama seorang penyelam atau jurukimpal boleh ada di dalam laut lebih kurang sejam setengah
“Lebih daripada itu mereka perlu naik ke atas bagi mengelak sebarang risiko tidak diingini terjadi,” ujarnya.

Ditanya berapa pendapatan diperoleh, Nurizzati Athira memberitahu, seorang jurukimpal sepertinya boleh membawa pulang RM300 hingga RM500 sehari bergantung kepada tugasan dan lokasi.
Dia juga pernah memasang jaring di dasar laut untuk pihak Tenaga Nasional Berhad di Selama, Perak dan beberapa pihak luar.
Akui anak kedua daripada empat beradik ini, dia juga pernah menerima tawaran daripada pelbagai pihak dan syarikat yang berminat dengan kepakarannya.
Pun begitu, tawaran lumayan itu terpaksa ditolak dan memutuskan menjadi pembantu pengajar bidang kimpalan dalam air di syarikat dia bertugas kini.
Menurutnya, dia juga bakal meneruskan kursus peningkatan kemahiran dalam bidang kimpalan dalam air di Sepanyol bagi meningkatkan lagi akreditasi tahap kemahirannya.















