MUAR – Tiada masa untuk berehat dan kerja perlu diteruskan kerana tempoh lima tahun bukan masa yang panjang untuk membalas kepercayaan rakyat selepas diberikan amanah untuk menggalas tugas sebagai wakil rakyat.
Itulah pendirian calon Barisan Nasional (BN) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong, Ahmad Syar’e Yusof selepas terpilih sebagai wakil rakyat apabila menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke 16 kelmarin.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Cikgu Syar’e berkata, perkara pertama yang dilakukannya adalah menyusun Jawatankuasa Bertindak bagi setiap mukim dalam DUN Bukit Kepong ini untuk membantu beliau menjadi mata dan telinga berkaitan perkara-perkara kebajikan dan isu setempat.
Katanya, dengan cara ini setiap perkara berkaitan masyarakat di dalam kawasan tanggungjawab dapat diambil maklum dengan pantas sebelum tindakan dapat dilakukan secepat mungkin.
“Perkara-perkara berkaitan rakyat setempat akan menjadi keutamaan kepada saya selain daripada turun padang bagi mendengar dan memahami setiap keperluan mereka.
“Ia akan dilakukan bermula hari ini sehingga akhir penggal kerana saya tidak mahu dilabelkan sebagai ‘wakil rakyat bermusim’ seperti sesetengah pihak sebelum ini,” katanya kepada Kosmo! hari ini.
Ahmad Syar’e Yusof terpilih sebagai wakil rakyat selepas menewaskan penyandangnya, Datuk Sahruddin Jamal daripada Perikatan Nasional (PN) dan Subramani Chami (Pakatan Harapan) dengan majoriti undi 10,761. – KOSMO! ONLINE















