WASHINGTON – Tentera Amerika Syarikat(AS) melancarkan gelombang serangan baharu ke atas Iran semalam selepas pertempuran kembali tercetus di Selat Hormuz, menyaksikan beberapa sekutu Washington di rantau Teluk menjadi sasaran serangan balas Tehran.
Serangan terkini tentera AS bermula pukul 5 pagi tadi (waktu Malaysia), kata Markas Pemerintah Pusat (CENTCOM) di platform X, selepas kira-kira 140 serangan dilancarkan pada malam sebelumnya.
Media Iran melaporkan, serangan AS menyasarkan kawasan luas di selatan dan barat Iran, termasuk Pulau Qeshm dan Bandar Abbas berhampiran Selat Hormuz serta wilayah Khuzestan yang bersempadan dengan Iraq.
Petang semalam, Iran melaporkan sekurang-kurangnya 10 ‘projektil musuh’ mengenai Pulau Qeshm, yang terletak di Selat Hormuz.
Tehran juga melaporkan serangan ke atas Pulau Farur, mengakibatkan seorang pekerja telekomunikasi terbunuh dan dua yang lain cedera.
Pertempuran terbaharu itu berlaku selepas Iran menyerang sebuah kapal kontena di Selat Hormuz, yang mana kru terpaksa meninggalkannya selepas ia terbakar.
Tentera Pengawal Revolusi Iran berkata selepas kejadian itu bahawa ‘Selat Hormuz ditutup sehingga notis selanjutnya dan sehingga campur tangan Amerika di rantau ini, berakhir’.
CENTCOM bagaimanapun menyatakan bahawa laluan di Selat Hormuz ‘terbuka kepada semua kapal yang ingin transit secara sah.’
Sementara itu, Kuwait menyatakan, tiga pos sempadan daratnya di utara rosak dan pelantar penggerudian luar pesisir turut menjadi sasaran serangan dron Iran, dengan seorang cedera. – AFP















