JOHOR BAHRU – Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor membuktikan rakyat semakin muak dengan politik kebencian, fitnah dan serangan peribadi, sebaliknya memilih kestabilan serta kepimpinan yang mempunyai rekod prestasi.
Penganalisis sosiopolitik Universiti Malaya, Datuk Prof. Dr. Awang Azman Awang Pawi berkata, keputusan menyaksikan BN menguasai 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) menunjukkan pengundi membuat pilihan berdasarkan kemampuan mentadbir, bukannya dipengaruhi naratif yang memecahbelahkan masyarakat.
Menurut beliau, sepanjang tempoh kempen pelbagai serangan peribadi dan isu lama dimainkan bagi menjejaskan keyakinan rakyat terhadap BN, namun pengundi Johor memilih untuk menilai pencapaian sebenar kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
“Rakyat Johor menghantar mesej sangat jelas, mereka sudah penat dengan politik kebencian. Mereka mahukan kerajaan yang bekerja, menyelesaikan masalah dan membawa pembangunan, bukannya politik yang hanya mencari salah pihak lawan,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Beliau berkata, pendekatan Onn Hafiz yang menumpukan kepada Agenda Maju Johor 2030, pelaburan, peluang pekerjaan, pembangunan infrastruktur serta penyampaian perkhidmatan awam berjaya meyakinkan rakyat untuk terus memberikan mandat kepada BN.
Katanya, faktor kepimpinan Onn Hafiz digabungkan dengan kekuatan organisasi UMNO-BN dan sokongan padu jentera akar umbi menjadi ramuan utama kejayaan gabungan itu menambah lapan kerusi berbanding PRN 2022.
Awang Azman berkata, keputusan tersebut juga memperlihatkan pengundi semakin matang apabila tidak lagi mudah terpengaruh dengan kempen berunsur kebencian yang tidak disertakan tawaran dasar atau penyelesaian terhadap masalah rakyat.
Menurut beliau, mana-mana parti politik perlu memahami bahawa era memainkan sentimen dan menyerang peribadi semata-mata semakin sukar diterima kerana rakyat kini lebih menilai prestasi, integriti pentadbiran dan keberkesanan dasar.
Tambahnya, kemenangan BN turut memperlihatkan sokongan semakin merentasi kaum dan generasi apabila pengundi Melayu, Cina, India serta golongan muda berkongsi aspirasi yang sama iaitu mahukan kestabilan politik bagi menjamin pertumbuhan ekonomi dan peluang pekerjaan.
Dalam pada itu, peguam dan pemerhati politik, Datuk Seri Dr. Jahaberdeen Mohamed Yunoos berkata, kemenangan besar BN dalam PRN Johor ke-16 memberikan beberapa pengajaran penting.
Katanya, pertama, UMNO sebagai parti teras BN perlu terus mengekalkan kestabilan kepimpinan, seperti yang dapat dilihat di bawah kepimpinan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
“Kedua, UMNO perlu terus memahami dan menerima bahawa formula Barisan Nasional merupakan satu pendekatan yang telah terbukti mendapat tempat di hati rakyat Malaysia.
“Kejayaan BN sentiasa dibina atas semangat kerjasama, perkongsian kuasa dan kesederhanaan, bukannya retorik perkauman yang sempit,” katanya. -KOSMO! ONLINE















