KUALA LUMPUR – Jaguh muda olahraga negara, Armin Zahryl Abd. Latif terus mencipta sejarah apabila sekali lagi memecahkan rekod kebangsaan 110 meter (m) lari berpagar miliknya sendiri pada final Kejohanan Olahraga Asia Bawah 23 Tahun (B23) 2026 di Ordos, China, sebentar tadi.
Atlet berusia 21 tahun itu mencatat masa 13.58 saat (s) untuk menamatkan perlumbaan di tempat keempat, sekali gus memperbaharui rekod kebangsaan 13.63s yang diciptanya ketika aksi saringan semalam.
Pencapaian tersebut menyaksikan Armin berjaya memecahkan rekod kebangsaan sebanyak dua kali dalam tempoh kurang 24 jam, sekali gus mengesahkan statusnya sebagai pelari 110m berpagar terbaik negara ketika ini.
Meskipun gagal menaiki podium, catatan tersebut dianggap cukup membanggakan memandangkan dia berjaya memperbaiki rekod kebangsaan yang sebelum ini bertahan hampir sembilan tahun menerusi catatan 13.67s milik Rayzam Shah Wan Sofian yang dilakukan pada 2017.
Pingat emas dimenangi pelari China, Zhao Shiqi yang mencatat masa 13.38s, diikuti rakan senegaranya, Zhang Zijun (13.41s), manakala gangsa menjadi milik atlet Qatar, Oumar Dadai yang merekodkan 13.56s.
Seorang lagi wakil negara, Elvin Yap Zhi Xian turut menampilkan aksi membanggakan apabila menamatkan saingan di tempat keenam dengan catatan 13.85s selepas mencipta rekod peribadi (PB) baharu 13.72s ketika aksi saringan semalam.
Prestasi kedua-dua pelari muda itu memberikan petanda positif buat olahraga negara, khususnya dalam acara 110m berpagar lelaki yang kini dilihat kembali memiliki prospek cerah untuk mencabar di pentas Asia dan Asia Tenggara. KOSMO! ONLINE















