PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir susulan jangkaan hujan lebat melibatkan beberapa kawasan di Semenanjung, Sarawak dan Sabah hingga pukul 6 petang ini.
MetMalaysia dalam kenyataannya berkata, di Semenanjung, kawasan yang dijangka terlibat adalah Kedah (Langkawi), Perak (Kinta, Perak Tengah, Kampar, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim) dan Kelantan (Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai).
Keadaan sama turut berlaku di Terengganu (Besut, Setiu, Kuala Nerus dan Kemaman) dan Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Bentong, Temerloh, Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin).
“Hujan lebat turut diramal berlaku di Selangor (Hulu Selangor dan Gombak), Negeri Sembilan (Jempol dan Tampin) dan Johor (Tangkak, Segamat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi),” katanya.
Di Sarawak, cuaca buruk dijangka turut melanda Bintulu (Tatau dan Sebauh), Miri (Subis) dan Limbang.
Di Sabah, amaran hujan lebat melibatkan kawasan Pedalaman (Sipitang, Tenom, Beaufort, Keningau dan Tambunan), Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu dan Tuaran), Tawau (Lahad Datu) dan Sandakan (Kinabatangan).
MetMalaysia memaklumkan, amaran hujan lebat dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Jelasnya, amaran tersebut adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran. – KOSMO! ONLINE













