fbpx
Ayob Khan ketika berucap pada Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Negara di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur hari ini. Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON/KOSMO!

Saya masuk PDRM tak pakai kabel – Ayob Khan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay mendedahkan bahawa beliau tidak pernah bercita-cita untuk menyertai pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada awalnya.

Beliau berkata, selepas menamatkan pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1990, beliau bekerja di sebuah syarikat swasta dengan hasrat membina kerjaya sebagai pegawai bank.

“Saya tak ada niat pun nak masuk polis dan tak minat masuk polis. Fokus saya adalah untuk jadi pegawai bank,” katanya ketika berucap pada Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Negara di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol), di sini hari ini.

Menurut Ayob, penyertaannya dalam PDRM bermula selepas seorang rakan mengajaknya untuk menghadiri temu duga pengambilan pegawai polis.

“Habis temu duga, mereka beritahu saya calon simpanan tetapi saya dipanggil kira-kira tiga bulan kemudian dan saya masuk PDRM tak pakai kabel, tapi itulah rezeki saya,” ujarnya.

Ayob Khan berkata, selepas dipanggil melapor diri, beliau menjalani latihan sebagai kadet polis pada 1991 sebelum menyertai Cawangan Khas (SB).

Menurut Ayob Khan, pengalaman di SB menjadi titik tolak kepada perjalanan kerjayanya apabila beliau kemudiannya diberi kepercayaan menyandang beberapa jawatan termasuk Ketua Polis Johor sebelum dipanggil ke Bukit Aman.

“Sebab itu dalam Islam, kita kena yakin yang rezeki kita bukan ditentukan oleh manusia. Manusia boleh rancang, tapi kesudahannya Allah yang menentukan. Jangan takut rezeki kita,” katanya.

Beliau berkata, keyakinan terhadap ketentuan rezeki itu akhirnya membawa beliau menggalas amanah sebagai Timbalan Ketua Polis Negara, satu jawatan yang tidak pernah dibayangkannya sepanjang hampir 35 tahun berkhidmat dalam PDRM.

Terdahulu, Ayob Khan yang akan bersara wajib esok menyerahkan jawatan Timbalan Ketua Polis Negara kepada Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Seri Ibrahim Darus yang dilantik sebagai pemangku.

Majlis Serah Terima Tugas itu disaksikan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Khalid Ismail. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN