KUALA TERENGGANU – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih terhadap seluruh rakyat yang sentiasa mendoakan kesihatan dan kesejahteraan baginda.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Terengganu, Datuk Mohd. Sophian Abu Bakar berkata, Sultan Mizan yang kini sedang menjalani rawatan susulan dalam keadaan sihat walafiat.
“Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan (Mizan) berada dalam keadaan baik dan akan meneruskan rawatan susulan sebagaimana dijadualkan oleh pasukan perubatan baginda di luar negara.
“Baginda juga menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat yang sentiasa mendoakan kesihatan dan kesejahteraan baginda,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Mohd. Sophian mendoakan Sultan Mizan dikurniakan kesihatan baik oleh Allah serta urusan baginda dipermudahkan.
Kosmo! Online kelmarin melaporkan, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) memohon semua masjid dan surau di negeri ini mengadakan solat hajat khas bagi mendoakan kesejahteraan dan kesihatan Sultan Terengganu, Sultan Mizan.
Pelaksanaan solat hajat tersebut bagi memohon Allah memberima kesihatan baik, kesejahteraan berpanjangan dan dipermudah urusan buat Sultan Mizan.
Solat hajat khas itu diadakan selepas solat Jumaat di semua masjid di Terengganu, semalam manakala bagi surau pula didirikan selepas solat Isyak.
Sebelum ini, Sultan Mizan telah dinasihatkan pegawai perubatan untuk berehat daripada semua tugas rasmi sejak 15 April lalu. – KOSMO! ONLINE














