KUALA TERENGGANU – Semua masjid dan surau di negeri ini diarahkan untuk mengadakan solat hajat khas bagi mendoakan kesejahteraan dan kesihatan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.
Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dalam kenyataannya memohon kerjasama pengurusan masjid dan surau di seluruh negeri ini untuk melaksanakan solat hajat khas tersebut.
Menurutnya, pelaksanaan solat hajat tersebut bagi memohon Allah memberima kesihatan baik, kesejahteraan berpanjangan dan dipermudah urusan buat Sultan Mizan.
Solat hajat khas itu akan diadakan selepas solat Jumaat di semua masjid di Terengganu esok.
Bagi surau pula, solat hajat khas sama akan diadakan selepas solat isyak hari sama.
Sehubungan itu, JHEAT menyeru semua umat Islam di negeri tersebut agar sama-sama mendirikan solat hajat khas berjemaah terbabit.
Sebelum ini, Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail, telah dilantik sebagai Pemangku Raja Terengganu berkuat kuasa 15 April lalu.
Pelantikan tersebut berikutan Sultan Mizan dinasihatkan pegawai perubatan
untuk berehat daripada semua tugas rasmi.
Upacara pemasyhuran pelantikan Pemangku Raja Terengganu berlangsung di Istana Terengganu, Kuala Lumpur. – KOSMO! ONLINE














