fbpx
Anwar ketika berucap pada Majlis Perasmian Kemuncak National Training Week 2026 di UiTM Pulau Pinang, Permatang Pauh, hari ini. Foto oleh Danial Saad/KOSMO!

Saya percaya Jemaah Menteri setuju dedahkan laporan RCI Tabung Haji – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBERANG PERAI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim percaya Jemaah Menteri akan bersetuju mendedahkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Tabung Haji kepada umum, sekali gus tiada halangan untuk menghebahkannya.

Anwar berkata, namun ia perlu melalui proses yang sewajarnya sebelum diputuskan oleh barisan Kabinet.

“Sekarang riuh mengenai cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Tabung Haji. Ada yang mencabar mengapa laporan itu tidak didedahkan kepada umum.

“Saya tiada halangan dan pada prinsipnya saya bersetuju, namun kita perlu mengikut proses. Biar saya bawa perkara ini ke Mesyuarat Jemaah Menteri pada hari Rabu ini dan saya percaya Jemaah Menteri akan bersetuju,” katanya ketika berucap pada Majlis Kemuncak Perasmian Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2026 di sini, hari ini.

NTW 2026 diadakan selama dua hari, bermula hari ini di UiTM Cawangan Pulau Pinang, Permatang Pauh.

Menurut beliau, pendedahan laporan itu sebelum ini ditangguhkan bagi memberi ruang kepada pihak pengurusan baharu Tabung Haji melaksanakan penambahbaikan institusi itu.

Katanya, langkah tersebut juga bertujuan memastikan keyakinan pendeposit terhadap institusi berkenaan tidak terjejas ketika proses pemulihan sedang berlangsung.

“Kini kita bersedia untuk menghebahkannya kepada umum. Jika didedahkan terlalu awal dahulu, kita bimbang keyakinan orang ramai terhadap Tabung Haji akan terjejas,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri memberitahu, Tabung Haji telah menerima anugerah pengurusan terbaik dalam kalangan institusi pengurusan haji di dunia, baru-baru ini.

“Minggu lalu, Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman menghantar mesej mengucapkan tahniah. Ini membuktikan bahawa apabila kita bekerja dengan baik dan memperbaiki kelemahan, kita mampu mengangkat martabat negara,” tambahnya.

Kelmarin, media melaporkan Perdana Menteri memberi jaminan untuk mendedahkan RCI berhubung Tabung Haji kepada umum selepas mendapati institusi itu kini berada dalam kedudukan yang lebih kukuh dan stabil.

Beliau dilaporkan berkata, kerajaan pada asalnya telah bersetuju untuk menerbitkan laporan berkenaan, namun keputusan itu ditangguhkan ketika proses pemulihan Tabung Haji sedang dijalankan bagi mengelakkan kebimbangan dalam kalangan pendeposit.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan menafikan dakwaan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Ahmad Badri Mohd. Zahir menjual aset strategik Tabung Haji.

Beliau menjelaskan penjualan aset bermasalah kepada Urusharta Jamaah Sdn. Bhd. pada 2018 merupakan keputusan kolektif Kabinet bagi menutup defisit RM10.9 bilion dan menyelamatkan institusi itu, selain aset berkenaan kini mula dibeli semula selepas kedudukan kewangan Tabung Haji kembali kukuh. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN