KUALA LUMPUR – Polis memperkukuhkan usaha membanteras pelbagai bentuk jenayah termasuk kegiatan sindiket yang mengeksploitasi aktiviti mengemis di ibu negara menerusi penambahan pondok polis baharu dengan sokongan sektor korporat.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kegiatan ragut, pengemisan dan sindiket yang menjadikan golongan tertentu sebagai alat untuk meraih simpati awam antara cabaran berterusan yang dihadapi pihak polis di bandar raya ini.
Menurutnya, sebagai sebuah metropolis yang sentiasa sibuk, Kuala Lumpur memerlukan pendekatan lebih menyeluruh bagi memastikan aspek keselamatan awam terus terpelihara.
“Jenayah seperti ragut dan kegiatan mengemis yang dipercayai didalangi sindiket merupakan antara isu yang sentiasa diberi perhatian oleh polis.
“Kita akan terus memperhebat usaha penguatkuasaan dan pada masa sama mengharapkan kerjasama semua pihak termasuk sektor korporat serta masyarakat dalam membantu menangani masalah ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Pondok Polis Tun Razak Exchange (TRX) di sini hari ini.
Mengulas mengenai dakwaan terdapat individu dari luar negara terlibat dalam kegiatan mengemis, Fadil berkata, polis akan menjalankan siasatan bersama agensi berkaitan bagi mengenal pasti sama ada wujud unsur sindiket.
Katanya, sekiranya terbukti kegiatan itu didalangi rangkaian jenayah termasuk melibatkan warga asing, tindakan tegas akan diambil mengikut undang-undang.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kontinjen Kuala Lumpur kini mempunyai 25 balai polis dan 28 pondok polis yang meliputi enam daerah polis termasuk Putrajaya.
Menurutnya, Pondok Polis TRX yang ditempatkan di bawah pentadbiran Balai Polis Tun H.S. Lee diwujudkan hasil kerjasama strategik antara PDRM dan pengurusan TRX bagi memperkukuh kawalan keselamatan di kawasan pusat kewangan antarabangsa itu. – KOSMO! ONLINE














