KLANG – Perjalanan seorang operator kilang menuju ke tempat kerja bertukar tragedi selepas motosikal ditunggangnya terbabas melanggar pembahagi jalan dan tercampak di Jalan Meru Tambahan di sini, hari ini.
Kemalangan kira-kira pukul 8.50 pagi mengakibatkan lelaki berusia 21 tahun yang terkena bahagian tepi sebuah lori itu maut di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari Jalan Nenas menghala ke arah Puncak Alam.
“Motosikal lelaki itu kemudian terbabas dan melanggar pembahagi jalan lalu tercampak ke laluan bertentangan. Mangsa yang sedang menuju ke tempat kerjanya itu kemudian terkena tepi sebuah lori dipandu seorang lelaki berusia 36 tahun,” katanya malam ini.
Tambah beliau, kemalangan itu menyebabkan mangsa cedera parah dan disahkan maut di lokasi kejadian dengan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, Inspektor Ahmad Fadzli Abdullah di talian 017-5843860. – KOSMO! ONLINE














